Pelakon dan penyampai radio, Fazziq Muqris mengakui mengambil pengajaran daripada kontroversi video tular yang memaparkan kemesraannya bersama isteri, selain berjanji untuk lebih berhati-hati ketika berkongsi momen peribadi di media sosial.
Ketika ditemui media, Fazziq tampil memohon maaf kepada pihak yang kurang senang dengan tindakannya mencium isterinya dalam video berkenaan.
“Saya rasa perkara itu tidak terlalu keterlaluan kerana dia isteri saya yang sah dan halal, Alhamdulillah. Pada saya, itu hak saya sama ada mahu mencium pipi atau mulutnya.
“Saya juga selalu ingatkan isteri, orang boleh cakap apa sahaja dan selalunya mereka lebih nampak keburukan berbanding kejayaan. Kita ambil pengajaran dan lebih berhati-hati.
“Kalau ada netizen yang tidak suka, jangan risau, kami tidak akan ulangi lagi selepas ini. Saya mohon maaf,” katanya.
Fazziq berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka dan Pelancaran Filem Kata Hati di The Curve, Petaling Jaya, pada Selasa.

Dalam pada itu, Fazziq turut mengakui simpati melihat isterinya yang terkesan secara emosi akibat kecaman yang diterima.
“Dia memang sedih dan ‘down’. Bila jadi perkara macam ini, saya rasa kasihan. Mungkin ada yang komen sekadar mahukan perhatian.
“Sebagai suami, saya cuba pujuk dan jelaskan supaya dia teruskan kehidupan. Apa yang sudah berlaku kita abaikan. Kalau kita terus fikir, kita tidak akan ke mana. Kita tidak pendam, tetapi cuba pulihkan diri dan teruskan ke hadapan.
“Saya juga rasa tanggungjawab saya untuk jaga hati dia. Bila dia ‘down’, saya tidak mahu tambah tekanan, sebaliknya jelaskan dengan baik. Itu yang saya lakukan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Fazziq menasihati isterinya agar tidak melayan komen negatif di media sosial.
“Kita jadikan ini sebagai pengajaran. Saya pesan pada isteri, peraturan utama di media sosial adalah jangan beri sebarang reaksi terhadap perkara negatif.
“Kalau kita balas, mereka akan rasa menang. Jadi biarkan sahaja. Kalau tak suka, boleh ‘scroll’. Kalau suka, komenlah dengan baik,” katanya.
Terdahulu, kemesraan Fazziq dan isterinya, Areeqa menjadi perhatian ramai selepas wanita itu memuat naik video sebagai tanda sokongan terhadap kejayaan Fazziq menyertai pertandingan Hyrox.
Bagaimanapun, tindakan pasangan itu bercium mulut mengundang kritikan segelintir netizen yang berpendapat ia tidak sesuai untuk tontonan umum, meskipun mereka merupakan suami isteri.

Untuk rekod, Fazziq mendirikan rumah tangga bersama Areeqa pada 22 November tahun lalu dengan sekali lafaz.
Areeqa merupakan seorang pempengaruh dan mereka mula berkenalan sejak tahun 2019.




