
Liek Hou. Foto fail Bernama
JAGUH para badminton negara, Cheah Liek Hou menerima durian runtuh sebanyak RM20,000 atas kejayaan merangkul gelaran juara dunia paling banyak selepas menjuarai Kejohanan Para Badminton Dunia 2026 di Manama, Bahrain pada Februari lepas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, ganjaran itu diberikan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) bagi menghargai kejayaan dikecapi Liek Hou yang memenangi sembilan kejohanan dunia, sekali gus mengatasi rekod legenda skuasy Datuk Nicol David (lapan kali).
“Liek Hou telah memecahkan rekod dengan mendapat gelaran kejuaraan dunia paling banyak, iaitu sembilan kali berturut-turut dan ini adalah satu kebanggaan untuk Wilayah Persekutuan. Jadi, hari ini Wilayah Persekutuan telah memberikan ganjaran RM20,000 kepada beliau.
“Kami berharap beliau akan terus cemerlang dalam sukan para badminton,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Madani kepada Badan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Tahun 2026 serta Penyampaian Insentif Pemenang Pingat Sukan SEA ke-33.
Dalam pada itu, Hannah berkata, kerajaan menerusi JWP dan MSWP menyalurkan Bantuan Madani berjumlah RM282,000 kepada 81 badan sukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi tahun ini.
Beliau berkata, Bantuan Madani bukan sekadar peruntukan tetapi ‘dana amanah’ yang menuntut pengurusan berintegriti serta tadbir urus yang lebih berkesan dalam kalangan badan sukan.
“Jadi, ini sedikit sebanyak membantu pentadbiran mereka. Cuma seperti yang saya nyatakan dalam situasi seperti ini sekarang, persatuan sukan akan merasakan lebih mencabar untuk dapatkan dana. Jadi, mereka perlu kreatif untuk keluar cari penajaan dan perlu juga melakukan penjimatan,” katanya.
Pada majlis sama, sejumlah RM178,000 insentif telah disampaikan kepada atlet yang berjaya memperoleh pingat pada Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN di Thailand pada tahun lepas.
Sebagai rekod, sebanyak 103 atlet Wilayah Persekutuan menyertai Sukan SEA 2025 yang menyumbang 19 emas, 24 perak dan 34 gangsa dan lapan atlet menyumbang tiga emas, tiga perak dan 11 gangsa bagi Sukan Para ASEAN. – Bernama



