Madrid: Atletico Madrid mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama dalam tempoh sembilan tahun selepas menewaskan Barcelona dengan agregat 3-2 walaupun tewas 1-2 di laman sendiri dalam perlawanan mendebarkan sehingga wisel penamat, awal pagi tadi.
Pasukan kendalian Diego Simeone menyangka mereka sudah melakukan sebahagian besar tugas dengan kemenangan 2-0 di Camp Nou pada aksi pertama, namun kelebihan itu dipadamkan oleh serangan awal Barcelona yang menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama untuk mengikat agregat.
Lamine Yamal memanfaatkan kesilapan Clement Lenglet untuk membuka jaringan seawal minit keempat, sebelum menewaskan penjaga gol Juan Musso hasil bantuan Ferran Torres.
Torres kemudian menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-24 apabila menyambut hantaran Dani Olmo dan melepaskan rembatan ke penjuru atas gol.
Atletico yang tertekan akhirnya bangkit pada minit ke-31 apabila Marcos Llorente melakukan larian di sebelah kanan sebelum menghantar bola kepada Ademola Lookman yang menjaringkan gol untuk mengembalikan kelebihan agregat tuan rumah.
Barcelona menguasai permainan pada babak kedua dan hampir menambah gol ketiga, namun jaringan Torres dibatalkan kerana ofsaid dengan Pedri dan Gavi mengawal bahagian tengah.
Barcelona menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Eric Garcia dilayangkan kad merah akibat kekasaran dan Atletico bertahan untuk mara ke separuh akhir menentang Arsenal atau Sporting CP.
“Kami sudah lama menyimpan impian besar,” kata Musso kepada wartawan.
“Kami mahu lepasi peringkat ini dan kami tahu kami mampu. Kami kekal berpegang pada impian. Pasukan ini sangat bersatu dan kami layak untuk impian besar.”
Barcelona mengejutkan stadium seawal minit keempat hasil kesilapan besar Lenglet yang cuba membuat hantaran ke belakang tetapi lemah, membolehkan Yamal merampas bola sebelum Torres membantu mencipta gol.
Tekanan tinggi Barcelona menyebabkan Atletico terus melakukan kesilapan. Olmo kemudian melakukan larian dan menghantar bola tepat kepada Torres yang menyempurnakan peluang untuk menyamakan agregat.
Barcelona hampir menjaringkan gol ketiga, namun Musso melakukan penyelamatan luar biasa untuk menafikan percubaan jarak dekat Fermin Lopez.
Gol Lookman menghidupkan kembali suasana stadium dan tempo permainan menjadi lebih tenang pada babak kedua.
Barcelona terus menguasai bola dan menjaringkan gol ketiga, namun sekali lagi dibatalkan kerana ofsaid.
Perlawanan berubah apabila Alexander Sorloth dijatuhkan oleh Garcia ketika berlari ke arah gol. Pengadil Clement Turpin pada awalnya memberi kad kuning sebelum menukarnya kepada kad merah selepas semakan VAR.
“Begitulah bola sepak, semuanya ditentukan oleh perkara kecil,” kata jurulatih Barcelona, Hansi Flick.
“Kami perlu perbaiki beberapa aspek, tetapi dari segi mentaliti dan sikap, pasukan sudah berikan segalanya.”
Atletico cuba mencari gol penyamaan, namun peluang oleh Sorloth dan Nahuel Molina gagal dimanfaatkan.
Wisel penamat disambut lega oleh penyokong tuan rumah. Walaupun tewas pada malam itu, Atletico mara ke separuh akhir, penuh tekanan, keletihan tetapi kembali ke kelompok empat terbaik selepas hampir sedekad.
© New Straits Times Press (M) Bhd




