16 murai batu dirampas, warga emas ditahan

16 murai batu dirampas, warga emas ditahan

mhafis@mediaprima.com.my

Johor Bahru: Lelaki berusia 60 tahun ditahan bersama 16 ekor burung murai batu dalam Op Bersepadu Khazanah di sebuah premis kediaman di Serene Park, di sini, semalam.

Suspek ditahan oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman Zon Selatan dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor.

Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, serbuan yang dijalankan hasil maklumat risikan pada kira-kira 7 malam mendapati, terdapat sebanyak 16 ekor burung murai batu iaitu spesies hidupan liar dilindungi sepenuhnya disimpan di premis berkenaan.

“Suspek gagal mengemukakan sebarang lesen sah bagi tujuan pemilikan, penyimpanan atau pemeliharaan hidupan liar itu.

“Turut dirampas ialah 16 unit sangkar burung pelbagai jenis, sebuah telefon bimbit serta beberapa dokumen berkaitan. Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM295,106,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Suspek dibebaskan dengan jamin polis sementara menunggu pihak Perhilitan Negeri Johor melengkapkan siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top