36 stesen jadi 'hotspot', polis perangi ketirisan minyak subsidi

36 stesen jadi 'hotspot', polis perangi ketirisan minyak subsidi

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkukuh penugasan anggota di stesen minyak berhampiran sempadan negara bagi menangani ketirisan bahan api bersubsidi yang dikenal pasti semakin meningkat.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Fisol Salleh, berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi penugasan elemen Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama elemen kontinjen di stesen minyak yang dikenal pasti sebagai lokasi hotspot serta berisiko tinggi.

Menurutnya, sebanyak 36 stesen minyak diklasifikasikan sebagai hotspot manakala 55 lagi dikenal pasti sebagai lokasi berisiko susulan peningkatan aktiviti ketirisan yang dipercayai dipengaruhi faktor semasa termasuk dinamika krisis tenaga global.

“Penugasan ini mula dilaksanakan jam 6 pagi tadi membabitkan enam negeri sempadan iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak.

“Penugasan dijalankan secara syif dengan kehadiran pegawai serta anggota PGA bersama elemen pengoperasian kontinjen bagi memastikan kawalan berterusan dan berkesan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, tumpuan diberikan kepada stesen minyak yang beroperasi antara 6.30 pagi hingga 11.30 malam yang dikenal pasti sebagai waktu puncak urus niaga dan berpotensi tinggi berlaku aktiviti penyelewengan.

Katanya, bagi stesen yang beroperasi 24 jam, pemantauan dan penugasan dilaksanakan secara berterusan sepanjang masa.

“Langkah ini sebahagian usaha bersepadu PDRM dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memperkukuh kawalan serta penguatkuasaan di kawasan sempadan.

“Ia bagi memastikan penyaluran bahan api bersubsidi kepada golongan layak selain mengelakkan ketirisan yang boleh menjejaskan kepentingan negara,” katanya.

Fisol berkata, PDRM akan terus meningkatkan keberkesanan operasi melalui pemantauan berterusan, pengukuhan risikan serta kerjasama strategik bersama agensi berkaitan bagi membanteras penyelewengan dan penyeludupan bahan api bersubsidi.

Orang ramai turut diseru menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha penguatkuasaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top