Kesatuan Mahasiswa UM kecam babak tak senonoh pementasan teater di kampus

Kesatuan Mahasiswa UM kecam babak tak senonoh pementasan teater di kampus

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mengecam sekeras-kerasnya pementasan teater oleh salah satu pasukan teater kolej yang didakwa memaparkan unsur tidak senonoh dan kandungan melanggar batas norma kesopanan serta bercanggah dengan nilai agama Islam.

KMUM dalam kenyataan, memaklumkan pementasan yang sepatutnya menjadi medium seni, intelektual dan pembangunan sahsiah mahasiswa tidak boleh disalahgunakan sebagai ruang untuk menormalisasikan kandungan tidak bermoral dan mencetuskan ketidakselesaan dalam kalangan warga kampus.

“KMUM menegaskan bahawa kami menghormati kebebasan berkarya dalam ruang seni tetapi ia bukan lesen untuk mengabaikan sensitiviti masyarakat dan identiti institusi pendidikan tinggi.

“Karya seni dihasilkan dalam lingkungan kampus seharusnya mencerminkan tahap kematangan intelektual serta tanggungjawab sosial yang tinggi.

“Ia bukannya bagi menormalisasikan kandungan, mencetuskan kontroversi dan ketidakselesaan dalam kalangan warga kampus,” katanya.

Justeru itu katanya, KMUM mengemukakan tuntutan tegas iaitu permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam oleh pasukan teater berkenaan.

“Pasukan teater terbabit wajib mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh warga kampus dalam tempoh 24 jam atas kandungan yang dipersembahkan.

“Kegagalan berbuat demikian menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap sensitiviti komuniti yang dihuni majoriti masyarakat Muslim dan nilai murni institusi,” katanya.

Selain itu, menurutnya, pihak KMUM juga menuntut pihak penganjur bertanggungjawab dan mengambil tindakan segera.

“KMUM menegaskan bahawa pihak penganjur tidak boleh lepas tangan dalam isu ini.

“Penganjur perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kandungan yang dipersembahkan di bawah program mereka,” katanya.

Oleh itu katanya, KMUM menuntut tindakan segera perlu diambil terhadap pihak yang terbabit tanpa berlengah.

“Tindakan dan siasatan perlu dilakukan serta-merta untuk mengatasi isu terbabit. Tiada kompromi terhadap kandungan tidak bermoral dan tindakan mesti diambil,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video memaparkan seorang lelaki dan wanita melakonkan babak intim di atas pentas tular di media sosial, sejak semalam.

Difahamkan, rakaman itu adalah sebahagian daripada pementasan teater diadakan di Universiti Malaya (UM).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top