Terengganu umum moratorium bantu ringankan beban petani, penternak, nelayan

Terengganu umum moratorium bantu ringankan beban petani, penternak, nelayan

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu : Kerajaan Terengganu mengumumkan moratorium bayaran balik pinjaman di bawah Skim Pinjaman Modal Tani (SPMT) selama 12 bulan, berkuat kuasa Mei depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, inisiatif penangguhan bayaran balik selama 12 bulan pinjaman itu antara langkah segera kerajaan bagi membantu meringankan beban golongan petani, penternak dan nelayan yang terhimpit berikutan kenaikan harga minyak susulan ketegangan konflik di Asia Barat.

Katanya, keputusan penangguhan bayaran balik pinjaman membabitkan kira-kira 400 peminjam aktif itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Skim Pinjaman Modal Tani kerajaan negeri, semalam.

“Moratorium penangguhan bayaran balik pinjaman itu akan diberikan kepada semua peminjam SPMT.

“Moratorium bayaran balik pinjaman selama 12 bulan itu menyebabkan Kerajaan negeri terpaksa menanggung implikasi kewangan kira-kira RM2.9 juta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi berkata, kerajaan negeri prihatin dengan kesukaran sedang dihadapi warga tani, penternak dan nelayan susulan situasi krisis global yang sedang melanda dunia.

Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Skim Pinjaman Modal Tani Kerajaan Negeri memutuskan untuk memberikan moratorium penangguhan bayaran balik pinjaman sehingga 12 bulan, berkuat kuasa bulan depan kepada semua peminjam SPMT.

“Semua peminjam akan dihubungi Urus Setia SPMT bagi urusan lanjut berkaitan pelaksanaan moratorium seperti diputuskan.

“Inisiatif moratorium itu antara usaha kerajaan negeri memberi ruang bernafas kepada golongan yang bergantung kepada sektor pertanian, penternakan dan perikanan, ketika kos operasi terus meningkat dan kedudukan ekonomi global masih tidak menentu,” katanya.

Dr Azman berkata, keputusan penangguhan sementara bayaran balik pinjaman itu bagi memastikan golongan sasar iaitu petani, penternak dan nelayan tidak terus tertekan, walaupun kerajaan terpaksa menanggung implikasi kewangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top