Green Packet, Presma jalin kerjasama pacu transformasi digital industri F&B

Green Packet, Presma jalin kerjasama pacu transformasi digital industri F&B

KUALA LUMPUR – Green Packet Berhad memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) bagi mempercepatkan transformasi digital industri makanan dan minuman (F&B) di negara ini.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Green Packet Berhad, Datuk Wira Shahul Dawood berkata, MoU tersebut merupakan langkah strategik untuk membangunkan ekosistem digital bersepadu melalui platform SuperApp bagi memenuhi keperluan pengusaha restoran di bawah Presma seluruh negara.

“Fokus kami untuk memodenkan industri penting yang masih kurang didigitalkan serta memastikan ia kekal relevan, berdaya saing dan mampan dalam ekonomi digital masa kini.

“Presma mewakili lebih 9,000 premis F&B di seluruh negara, menjadikannya antara ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbesar dan paling berpengaruh di Malaysia.

“Keadaan ini bukan sahaja untuk memperkenalkan teknologi malah memperkasa ribuan perniagaan di seluruh negara,” katanya dalam Majlis menandatangani MoU antara Green Packet Berhad dan Presma di M Resort & Hotel di sini, pada Khamis.

Tambahnya, ekosistem tersebut akan menggabungkan pelbagai keupayaan utama termasuk perkhidmatan gerbang pembayaran dan e-dompet, penyelesaian POS serta perisian sebagai perkhidmatan (SaaS), kecerdasan data, pengurusan inventori dan perkhidmatan kewangan seperti akses gaji awal, pembiayaan serta kiriman wang.

“Matlamatnya adalah untuk menyatukan sistem yang sebelum ini berpecah kepada satu platform bersepadu dan lancar. Usaha ini bukan sahaja melibatkan pendigitalan transaksi, malah merangkumi operasi, tenaga kerja serta penglibatan pelanggan.

“Kerjasama ini juga bertujuan menangani cabaran struktur industri seperti sistem yang tidak bersepadu, tahap penggunaan digital rendah, margin keuntungan kecil serta akses terhad kepada data,” katanya.

Shahul berkata, inisiatif itu adalah mengenai pembinaan satu ekosistem yang bertujuan merapatkan jurang sedia ada secara praktikal dan berskala, selain meningkatkan kecekapan operasi.

“Usaha ini membolehkan PKS mengakses alat dan teknologi yang sebelum ini hanya dinikmati oleh rangkaian perniagaan besar sekali gus meningkatkan keupayaan untuk beroperasi, berkembang serta bersaing.

“Pendekatan ini mengalih daripada penggunaan alat berasingan kepada platform bersepadu serta daripada operasi yang berpecah kepada sistem menyeluruh, dengan matlamat mewujudkan ekosistem digital mampan tanpa kebergantungan kepada platform luar,” ujarnya.

 

Datuk Wira Shahul Dawood (kiri) dan Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak (kanan) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Green Packet Berhad dan Presma bagi mempercepatkan transformasi digital industri F&B.

Datuk Wira Shahul Dawood (kiri) dan Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak (kanan) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Green Packet Berhad dan Presma bagi mempercepatkan transformasi digital industri F&B.

Jelas beliau, pendekatan itu selari dengan agenda pendigitalan PKS negara serta menyokong pertumbuhan ekonomi tanpa tunai berasaskan platform melalui gabungan kekuatan Green Packet sebagai pembina ekosistem dan Presma sebagai rakan industri dengan jaringan luas.

“Lebih penting, kerjasama ini menjadi asas kepada pembinaan infrastruktur digital industri F&B di peringkat nasional bagi memastikan kelestarian dan daya saing jangka panjang.

“Ini hanyalah permulaan dan tumpuan seterusnya adalah kepada penerimaan, pelaksanaan serta penciptaan nilai jangka panjang di samping memperkukuh keseluruhan ekosistem industri,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Presma, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak berkata, kerjasama tersebut melibatkan penambahbaikan sistem operasi restoran secara menyeluruh merangkumi pengurusan inventori, perakaunan, rekod simpanan serta pengurusan sumber manusia (HR).

‘Langkah tersebut bertujuan mendisiplinkan ahli agar setiap operasi berada dalam keadaan lebih teratur dan sistematik, selaras dengan keperluan serta standard yang semakin tinggi ditetapkan kerajaan ketika ini.

“Untuk memenuhi keperluan itu, kita perlu mempunyai rekod yang lengkap. Jadi kita perlu berubah daripada cara lama kepada sistem digital yang lebih moden,” katanya.

Beliau berkata, industri restoran kini turut mengalami perubahan ketara berbanding sebelum ini, termasuk dari segi imej yang semakin baik.

“Penglibatan generasi muda yang kebanyakannya terdiri daripada graduan juga membawa perubahan dari segi pemikiran dan cara pengurusan perniagaan. Justeru, kerjasama dengan Green Packet akan membantu kami memperoleh maklumat yang diperlukan untuk memperkukuh operasi.

“Perancangan ini telah dibincangkan sejak enam bulan lalu dan kini memasuki fasa MoU.

“Insya – ALLAH dalam tempoh tiga hingga enam bulan lagi pelaksanaan akan dimulakan dan dalam tahun ini, kita boleh melihat perubahan serta impaknya,” katanya.

 

 

Scroll to Top