rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “I’m home (Saya kembali).” Demikian hantaran dibuat bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin di akaun Instagram rasminya pada Jumaat.
Ia dipercayai susulan kenyataan beliau antara 6,252 bekas pimpinan serta ahli UMNO yang diterima kembali menyertai parti itu di bawah inisiatif Rumah Bangsa.
Khairy turut menzahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Majlis Tertinggi atas keputusan terbabit.
Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi kenyataan memaklumkan seramai 6,252 bekas pimpinan serta ahli UMNO termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy dan Tan Sri Syed Hamid Albar diterima kembali menyertai parti itu di bawah inisiatif Rumah Bangsa.
Katanya, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menyokong dan mendukung penuh gagasan Rumah Bangsa yang dicetuskan oleh presiden untuk menerima kembali tanpa syarat mana-mana ahli yang digantung, dipecat atau keluar parti atas apa jua faktor.
Sebelum ini, Khairy memaklumkan beliau secara rasmi memohon pemecatan keahliannya daripada parti itu dibatalkan, dengan nombor keahlian asal diaktifkan semula.
Beliau menyerahkan surat rayuan berkenaan atas semangat Rumah Bangsa kepada presiden dalam satu pertemuan pada bulan lalu.
Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan dilaporkan berkata, beliau bersyukur diberikan kesempatan untuk kembali meneruskan khidmat bakti dalam perjuangan demi agama, bangsa dan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




