Selepas melalui proses rayuan dan persediaan yang panjang, maka tibanya musim haji, hati umat Islam di seluruh dunia seakan bergetar dengan satu panggilan yang sukar digambarkan. Ia bukan sekadar perjalanan fizikal menuju Tanah Suci, tetapi suatu perjalanan rohani yang mengajak manusia kembali kepada fitrah kehambaan. Musim Haji 1447H mula membuka lembaran baharu bagi jutaan tetamu Allah Dhuyufurrahman yang dipilih untuk menyahut seruan agung yang bergema sejak zaman Nabi Ibrahim AS lagi. Selari dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Hajj ayat 27: “Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan menaiki setiap unta yang kurus, datang dari segenap penjuru yang jauh.” Ayat ini menggambarkan haji bukan sekadar ibadah ritual, tetapi panggilan Ilahi yang merentas zaman dan generasi.
Falsafah haji berakar pada konsep tauhid yang tulen – pengabdian mutlak kepada Allah SWT. Setiap – rukun dan wajib haji mengandungi rahsia simbolik mendalam. Ihram, misalnya, bukan sekadar pakaian putih tanpa jahitan, tetapi lambang kesederhanaan dan penghapusan darjat duniawi. Ketika jutaan manusia berhimpun dalam pakaian yang sama, ia menzahirkan hakikat bahawa di sisi Allah, yang membezakan hanyalah taqwa. Wukuf di Arafah pula menjadi kemuncak perjalanan, seolah-olah menggambarkan padang mahsyar di akhirat. Sabda Nabi SAW: “Haji itu adalah Arafah” (Riwayat al-Tirmizi), menegaskan bahawa inti haji terletak pada penghayatan jiwa yang tunduk dan penuh pengharapan kepada Allah.
Matlamat utama ibadah haji adalah mencapai haji yang mabrur. Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda: “Haji mabrur tiada balasan baginya melainkan syurga” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Haji mabrur bukan diukur pada kesempurnaan ritual semata-mata, tetapi pada perubahan akhlak dan peningkatan iman selepas pulang. Justeru, haji menjadi madrasah tarbiah yang membentuk insan bertakwa, sabar, dan berdisiplin. Ia melatih manusia meninggalkan larangan, mengawal emosi, serta memperbanyakkan zikrullah dalam setiap keadaan.
Dalam konteks semasa, pemahaman terhadap ibadah haji perlu kembali kepada sumber yang sahih iaitu al-Quran dan al-Sunnah, di samping pandangan ulama muktabar. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 197: “(Musim) haji itu pada bulan-bulan yang telah diketahui; maka sesiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu untuk mengerjakan haji, maka tidak boleh rafath (berkata kotor), tidak boleh berbuat fasiq dan tidak boleh berbantah-bantahan dalam masa mengerjakan haji.” Ayat ini menekankan aspek adab dan akhlak sepanjang perjalanan haji. Ia memberi isyarat bahawa kejayaan haji bukan hanya pada ibadah fizikal, tetapi pada penjagaan lisan, hati dan tingkah laku.
Adab bakal jemaah haji bermula sebelum perjalanan lagi. Niat yang ikhlas, ilmu mencukupi, serta persiapan rohani dan jasmani adalah asas penting. Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din menekankan bahawa seseorang yang ingin menunaikan haji perlu membersihkan hati daripada sifat riya’, ujub dan takabbur. Selain itu, memohon keampunan daripada manusia, menyelesaikan hutang, serta meninggalkan nafkah yang mencukupi untuk keluarga juga termasuk dalam adab yang dituntut.
Sepanjang berada di Tanah Suci, jemaah haji perlu menjaga adab dengan penuh kesedaran bahawa mereka adalah tetamu Allah. Setiap langkah, perkataan dan perbuatan harus mencerminkan keperibadian Muslim yang sebenar. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menunaikan haji tanpa melakukan rafath dan kefasikan, maka dia kembali seperti hari dilahirkan oleh ibunya.” (Riwayat al-Bukhari) Hadis ini menggambarkan betapa besarnya ganjaran bagi mereka yang menjaga adab dan kesucian diri sepanjang ibadah haji.
Tadabbur terhadap manasik haji juga membuka dimensi penghayatan yang lebih luas dan mendalam. Tawaf mengelilingi Kaabah melambangkan kepatuhan mutlak kepada Allah sebagai pusat kehidupan manusia seluruh jagat alam. Sa’i antara Safa dan Marwah pula mengingatkan kita kepada pengorbanan Saidatina Hajar dalam mencari air untuk anaknya Nabi Ismail AS yang kelaparan dan kehausan di padang pasir yang tandus dan gersang—suatu simbol usaha, tekad dan tawakkal yang hebat. Melontar jamrah pula melambangkan penolakan terhadap godaan syaitan dalam kehidupan seharian yang senantiasa mengganggu gugat ketenangan umat untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta. Semua ini mengajar bahawa haji bukan sekadar ibadah bermusim, tetapi latihan hidup sebenar yang perlu diterjemahkan selepas pulang ke tanah air nanti.
Dalam dunia yang penuh cabaran hari ini – dengan tekanan kehidupan, godaan materialisme dan krisis nilai dan kemanusiaan – ibadah haji menjadi medan penyucian jiwa yang sangat signifikan. Ia mengajar kita tentang kesabaran dalam kesesakan, toleransi dalam perbezaan, serta keinsafan dalam kelemahan diri. Haji juga mengingatkan kita bahawa kehidupan dunia hanyalah persinggahan sementara, dan destinasi sebenar adalah akhirat jua yang kekal abadi.
Akhirnya, musim haji 1447H harus dilihat sebagai peluang untuk memperbaharui iman dan memperkukuh hubungan dengan Allah SWT. Bagi yang terpilih menjadi tetamu-Nya, manfaatkanlah peluang ini sebaik mungkin dengan berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam melaksanakan segala perincian ibadah fardu dan sunat. Bagi yang belum berpeluang menunaikan fardu haji, jadikan musim haji sebagai motivasi untuk meningkatkan amal ibadah dan memperbaiki diri serta terus berdoa diberikan peluang menjadi tetamuNya satu hari nanti yang sesuai dengan ketentuannya. Semoga setiap langkah menuju Baitullah menjadi saksi kepada keikhlasan kita, dan setiap doa yang dipanjatkan menjadi asbab keampunan serta rahmat daripada Allah SWT.
Sesungguhnya, perjalanan haji adalah perjalanan pulang – pulang kepada Tuhan dengan hati yang bersih, jiwa yang tenang, dan iman yang lebih kukuh. Inilah hakikat sebenar rukun Islam kelima yang harus difahami, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian demi kesejahteraan ummah seluruhnya. Selamat perjalanan wahai tetamu Allah, haji mabrur didambakan, keimanan dipasakkan.
Penulis Profesor Madya Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
© New Straits Times Press (M) Bhd




