WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata pada Khamis bahawa Amerika Syarikat (AS) dan Iran sangat hampir mencapai perjanjian damai dan beliau akan mempertimbangkan untuk pergi ke Pakistan bagi menandatangani perjanjian tersebut.
Bercakap kepada wartawan di Rumah Putih, Trump menambah bahawa Teheran telah bersetuju untuk menyerahkan simpanan uranium diperkaya mereka, ketika kedua-dua negara mempertimbangkan rundingan lanjut di Islamabad.
“Kami sangat hampir untuk mencapai perjanjian dengan Iran,” kata Trump ketika beliau berangkat menaiki helikopter untuk lawatan ke Las Vegas.
“Kami perlu memastikan Iran tidak akan memiliki senjata nuklear. Mereka telah bersetuju sepenuhnya dengan perkara itu. Mereka telah bersetuju dengan hampir semua perkara, jadi mungkin jika mereka dapat kembali ke meja rundingan, akan ada perbezaan.
Apabila ditanya sama ada beliau mungkin ke Pakistan untuk menandatangani perjanjian, Trump menambah: “Saya mungkin pergi, ya. Jika perjanjian ditandatangani di Islamabad, saya mungkin akan pergi.”
Pemimpin AS itu turut memuji Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif yang disifatkannya sebagai sangat hebat dan ketua tentera berpengaruh, Asim Munir atas peranan mereka dalam memudah cara rundingan dengan Iran.
“Jika itu berlaku, harga minyak akan turun dengan ketara, inflasi akan turun dan anda tidak akan menghadapi ‘holocaust nuklear’. Kami berhubung baik dengan pemimpin baharu Iran. Ia benar-benar satu perubahan rejim.
“Perjanjian itu akan diumumkan tidak lama lagi. Ia akan memberikan kita minyak percuma dan Selat Hormuz percuma. Semuanya akan baik dan saya fikir harga minyak akan turun lebih rendah daripada sebelumnya,” katannya.
Apabila ditanya mengenai pusingan rundingan langsung seterusnya, Trump berkata, ia mungkin berlaku hujung minggu ini.
Ketika ini, gencatan senjata selama dua minggu yang bermula 8 April lalu sedang berlangsung.
Rundingan pertama yang diketuai Naib Presiden, JD Vance diadakan pada Sabtu minggu lalu di ibu negara Pakistan. Namun, tiada persetujuan segera dicapai untuk menamatkan perang AS-Israel ke atas Iran.
Bagaimanapun, Trump tidak memberikan butiran mengenai sebarang pemindahan tersebut dan Iran tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan menyerahkan simpanannya.
Walaupun begitu, Rumah Putih berkata, perbincangan untuk pusingan kedua sedang dijalankan dan kemungkinan akan diadakan di Pakistan sekali lagi.
ANCAMAN SERANGAN
AS sebelum ini mengancam untuk menyambung semula serangan udara ke atas Iran dan mengekalkan sekatan laut jika Teheran enggan menerima perjanjian bagi menyelesaikan konflik yang tercetus.
Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amir Saeid Iravani kemudian berkata, Teheran optimis namun berhati-hati terhadap rundingan damai dengan AS dan mengharapkan hasil yang bermakna.
Kelmarin, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth berkata, jika Iran memilih jalan yang salah, mereka akan berdepan sekatan dan pengeboman ke atas infrastruktur, tenaga dan kuasa.
ISRAEL
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz memberi amaran kepada Iran agar tidak menolak cadangan AS yang menumpukan kepada penolakan persenjataan nuklear dan berikrar untuk melancarkan serangan ‘lebih menyakitkan’ ke atas sasaran baharu jika Teheran berbuat demikian.
“Iran berada di persimpangan bersejarah, satu jalan ialah meninggalkan keganasan dan persenjataan nuklear selaras dengan cadangan AS, manakala satu lagi menuju ke jurang.
“Jika rejim Iran memilih jalan kedua, mereka akan segera menyedari terdapat sasaran yang jauh lebih menyakitkan daripada yang telah kami serang sebelum ini,” tambahnya.
Konflik tercetus pada 28 Februari lalu selepas operasi ketenteraan berskala besar oleh AS dan Israel terhadap Iran mengorbankan Pemimpin Tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei.
Iran kemudian melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas beberapa negara di Teluk. Negara-negara itu menempatkan kepentingan dan pangkalan tentera AS, termasuk di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Kuwait, Qatar, Arab Saudi serta Jordan.
Serangan tersebut dilaporkan menyasarkan infrastruktur ketenteraan, pelabuhan dan fasiliti strategik, dengan beberapa insiden mengakibatkan korban jiwa termasuk beberapa anggota tentera AS di rantau berkenaan.
Sebagai tindak balas awal, operasi udara dan ketenteraan AS-Israel dilaporkan menyasarkan rangkaian ketenteraan, sistem peluru berpandu serta struktur kepimpinan tentera Iran di beberapa lokasi strategik di dalam negara itu.
Serangan tersebut menyebabkan kematian beberapa tokoh kanan keselamatan dan tentera Iran dalam fasa awal konflik, sehingga mencetuskan perubahan besar dalam struktur kepimpinan negara itu. Anak Ayatollah Ali, Mojtaba Khamenei kemudian dilantik menggantikan bapanya sebagai Pemimpin Tertinggi Iran yang baharu.
Konflik berterusan antara AS-Israel dan Iran turut mengheret Lubnan selain menjadikan Selat Hormuz sebagai titik pertembungan yang memberi impak besar kepada ekonomi dan penghantaran bekalan minyak dunia.
Menurut Al Jazeera, angka awal menunjukkan 2,076 orang terbunuh di Iran dalam perang itu. Sekurang-kurangnya 26 orang di Israel dan 13 lagi askar AS terkorban manakala 28 lagi di negara-negara Teluk turut maut.




