Diesel naik? PM Anwar tegaskan hanya 15 peratus rakyat terkesan, majoriti nikmati subsidi!

Diesel naik? PM Anwar tegaskan hanya 15 peratus rakyat terkesan, majoriti nikmati subsidi!

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hanya 15 peratus rakyat terkesan dengan harga diesel pasaran, manakala majoriti 85 peratus lagi masih menikmati diesel bersubsidi yang disediakan kerajaan.

Menurut beliau, isu kenaikan harga diesel sering dipolemikkan oleh pihak tertentu tanpa mengambil kira hakikat sebenar bahawa sebahagian besar rakyat masih menerima manfaat subsidi tersebut.

“Orang bangkitkan minyak diesel yang tinggi. Kajian menunjukkan minyak diesel pasaran yang tinggi itu memberi kesan kepada 15 peratus rakyat.
“Sebanyak 85 peratus rakyat tidak menggunakan diesel harga pasaran, sebaliknya masih menggunakan harga subsidi…yang dihebahkan ialah yang 15 peratus itu,” katanya.

Kredit Foto: Izzuddin Abd Radzak

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, pada Sabtu.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Dalam masa sama, Anwar mengakui terdapat golongan tertentu yang terkesan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, namun kerajaan telah mengambil langkah mitigasi bagi mengurangkan beban rakyat.

Jelas beliau, beberapa sektor penting telah diberikan pengecualian termasuk pengangkutan awam, bas sekolah, lori strategik serta nelayan.

“Bagi pengangkutan, kita kecualikan bas sekolah, lori-lori strategik dan bidang nelayan.
“Ada yang marah kata nelayan terkesan, padahal nelayan guna harga minyak diesel subsidi, bukan harga pasaran,” katanya.

Artikel lain: Bukan minyak kita! PM Anwar gesa henti kontroversi dakwaan hantar diesel ke Filipina

Menurut beliau lagi, kerajaan sentiasa mengadakan rundingan secara berterusan bagi memastikan setiap dasar yang dilaksanakan tidak membebankan rakyat secara keseluruhan.

“Apakah kita perlu langkah untuk meringankan beban rakyat? Ya, kita ada rundingan setiap hari untuk mencari jalan meredakan beban rakyat,”ujar beliau.

Sumber: Utusan Online (Yatimin Abdullah)

Scroll to Top