KOTA BHARU – Seramai 55 usahawan di Kelantan berjaya melonjakkan prestasi perniagaan apabila merekodkan peningkatan jualan melebihi RM6 juta menerusi Program Agrobank Upward Migration (AUM).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan program berkenaan dalam memperkasa usahawan tempatan untuk berkembang ke tahap lebih tinggi.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, 30 usahawan telah menamatkan program manakala 25 lagi sedang mengikuti bimbingan yang disediakan.
“Sebanyak 21 syarikat berjaya mencatat peningkatan hasil berbanding tahun sebelumnya dengan jumlah jualan terkumpul semua peserta yang menamatkan program pada 2025 mencecah RM36.57 juta.
“Ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM6.52 juta atau 22 peratus berbanding sebelumnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Aspirasi Kecemerlangan Usahawan Agrobank 2026 di Hotel Grand Renai di sini pada Sabtu.

Tengku Ahmad Badli Shah (tiga kanan) menyampaikan anugerah kepada Mohd Yusoff (dua,kiri) yang merupakan bekas anggota tentera dan kini berjaya mengusahakan penternakan kambing secara komersial pada Majlis Aspirasi Kecemerlangan Usahawan Agrobank 2026 di Hotel Grand Renai, Kota Bharu pada Sabtu.
Tengku Ahmad Badli Shah memberitahu, tujuh syarikat turut berjaya memperoleh pembiayaan tambahan berjumlah RM1.425 juta sekali gus memperkukuh kedudukan kewangan dan kapasiti pertumbuhan perniagaan masing-masing.
Ujarnya, program AUM memainkan peranan penting dalam membantu usahawan tempatan mengembangkan potensi perniagaan melalui bimbingan berstruktur dan sokongan berterusan.
“Usahawan bukan sahaja mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran, malah berupaya menghasilkan inovasi baharu yang memberi nilai tambah kepada produk sedia ada.
“Kisah kejayaan ini membuktikan dengan usaha gigih serta sokongan tepat, usahawan tempatan mampu berkembang daripada operasi kecil kepada perniagaan lebih berdaya saing dan mampan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi kejayaan seorang peserta dari Kelantan yang merupakan bekas anggota tentera dan kini berjaya mengusahakan penternakan kambing secara komersial.
Katanya, usahawan berkenaan, Mohd Yusoff Mohammad memulakan operasi sejak 2017 sebelum mengembangkan perniagaan secara serius pada 2020 menerusi MDYM Agro Farm.
“Kini beliau memiliki empat kandang yang mampu menampung antara 200 hingga 300 ekor kambing pada satu-satu masa.
“Perniagaan itu melibatkan baka premium seperti Boer, Kalahari, Jamnapari dan Savannah selain turut berkembang ke sektor makanan dan minuman menerusi katering berasaskan kambing,” katanya.
Tambah beliau, Mohd Yusoff juga sedang merancang membuka pusat sembelihan halal dengan kerjasama Agrobank.
Majlis berkenaan turut menyaksikan lima syarikat menerima pengiktirafan atas pencapaian cemerlang dalam pelbagai kategori iaitu ZMAA Teguh Trading bagi kategori Peningkatan Jualan, Tiey Beauty Enterprise (Pengembangan Perniagaan), Rezki Mewah Solution (Penciptaan Pekerjaan), MDYM Agro Farm (Penambahan Kapasiti Teknologi) serta RH Tiga Lima Enterprise bagi kategori Penambahan Kapasiti Pembiayaan.


