'Mai bertanding di Kedah, kita tengok orang Kedah kata apa' – Sanusi

'Mai bertanding di Kedah, kita tengok orang Kedah kata apa' – Sanusi

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Kedah terbuka menerima mana-mana figura politik yang berhasrat untuk bertanding dalam pilihan raya di negeri itu termasuk bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dalam negara yang mengamalkan demokrasi ini, mana-mana pihak bebas untuk bertanding di mana-mana negeri sekali pun.

“Siapa-siapa pun boleh mai (datang bertanding) di Kedah. Mai (datang) bertanding di Kedah, kita tengok orang Kedah kata apa. Di Kedah terbuka untuk sesiapa sahaja.

“Tiada masalah (Khairy bertanding di Kedah). Mak KJ (Khairy) orang Kedah. Beliau fahamlah budaya orang Kedah. Jadi terpulang… di Kedah ‘open field’ dan ‘free to everybody’.

“Saya alu-alukan siapa pun hendak bertanding di Kedah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Anak Kedah di Perantauan Tahun 2026 yang dihadiri lebih 10,000 anak Kedah sekitar Lembah Klang di IDCC Seksyen 15, di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi mengulas cadangan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah Mohd Safwan Jaafar yang dilaporkan berkata, Barisan Nasional (BN) memerlukan figura seperti Khairy bagi memacu semula kebangkitan politik.

Mohd Safwan berkata, ideologi serta pemikiran bekas Menteri Kesihatan itu berupaya merangsang perubahan dalam cara fikir rakyat Kedah.

Semalam, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Khairy antara 6,252 bekas pimpinan serta ahli pelbagai peringkat yang diterima kembali menyertai parti itu menerusi inisiatif Rumah Bangsa.

Turut bersama dalam kelompok itu adalah bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top