am@hmetro.com.my
Bachok: Tawaran tender bagi kerja baik pulih Sekolah Menengah Ugama (Arab) Darul Ulum Al- Muhammadiah, di sini yang terbakar pada 12 April lalu akan mula dikeluarkan minggu hadapan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kelantan, Nik Badlihisham Nik Ismail berkata, ia selepas menerima kelulusan kerajaan negeri susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai bantuan segera RM500,000 bagi membaiki kerosakan.
Katanya, kerja baik pulih dijangka akan dimulakan pada pertengahan Mei ini.
“Pembaikan termasuk menukar struktur kekuda, bumbung dan siling; membaikpulih dan menukar pintu, tingkap dan gril; membaikpulih dinding dan mengecat luar dan dalam bangunan serta pendawaian semula blok berkaitan.
“Kami jangkakan selepas kontraktor dilantik, akan ambil masa tiga bulan untuk disiapkan,” katanya ketika ditemui pada lawatan kerja dan penyampaian sumbangan kepada sekolah agama berkenaan yang disempurnakan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, hari ini.
Nik Badlihisham berkata, bagaimanapun sekurang-kurangnya RM4 juta lagi diperlukan bagi membaiki blok akademik dan asrama yang turut hangus dalam kebakaran itu dengan anggaran tempoh siap selama dua tahun.
Sementara itu, Shamsul Azri menyampaikan sumbangan RM28,250 kepada semua pelajar yang terjejas.
Katanya, perbincangan lanjut dengan Kementerian Pendidikan akan diadakan bagi membolehkan baik pulih keseluruhan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) itu dapat dilaksana.
Bagi bapa pelajar, Sukry Che Ibrahim, 51, anaknya, Muhammad Syahmi, 14, terpaksa berulang alik lebih 10 kilometer selepas sekolah terbabit terbakar.
Siti Noorashiyah Mustapa, 37, pula mempunyai dua anak yang bersekolah di SABK itu dan sangat bersyukur dengan bantuan diterima serta keprihatinan kerajaan persekutuan dalam menyegerakan pembaikan.
Susulan kebakaran yang memusnahkan tiga blok, pelajar diberi pilihan untuk belajar secara dalam talian atau menyambung pelajaran di sekolah lain yang berdekatan buat sementara.
SMU (Arab) Darul Ulum Al- Muhammadiah yang ditubuhkan sejak 1990 ketika ini mempunyai 252 pelajar termasuk 112 yang menghuni asrama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




