Rumah Bangsa tunjuk perkembangan positif

Rumah Bangsa tunjuk perkembangan positif

KUANTAN: Usaha memperkukuh perpaduan dalam kalangan orang Melayu melalui inisiatif “Rumah Bangsa” dilihat menunjukkan perkembangan positif apabila lebih 6,000 individu dilaporkan kembali menyertai UMNO setakat ini.

Naib Presiden UMNO, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkembangan itu susulan pendekatan terbuka parti yang memberi ruang kepada bekas ahli yang pernah digantung, dipecat atau keluar parti untuk kembali menyertai UMNO.

Menurutnya, langkah tersebut merupakan hasil iltizam Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang bersikap terbuka demi menyatukan kembali kekuatan orang Melayu di bawah satu wadah.

“Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan apabila ramai yang tampil untuk kembali bersama UMNO. Setakat ini lebih 6,000 telah menyertai semula dan jumlah itu dijangka terus meningkat.

“Di bahagian saya sendiri, seramai 12 individu sudah menyatakan hasrat untuk kembali menjadi ahli,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan penutupan Malaysia East Coast Trade and Entrepreneur Expo 2026 di sini hari ini.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar berkata, perkembangan itu mencerminkan keyakinan orang Melayu terhadap usaha penyatuan semula parti tersebut.

Katanya, pendekatan inklusif yang diambil kepimpinan UMNO ketika ini memberi ruang kepada semua pihak untuk kembali tanpa mengira latar belakang lalu demi matlamat bersama. – UTUSAN

Scroll to Top