NSFC tetapkan perincian pelantikan ketua jurulatih yang baharu musim hadapan

NSFC tetapkan perincian pelantikan ketua jurulatih yang baharu musim hadapan

sukan@hmetro.com.my

Seremban: Meskipun saingan Liga Malaysia musim 2025/2026 belum berakhir namun Negeri Sembilan FC (NSFC) sudah memulakan persiapan awal dengan merangka perancangan tersendiri bagi menghadapi saingan itu musim hadapan.

Usaha itu seiring dengan sasaran kelab untuk melonjakkan lagi prestasi dan pencapaian pasukan bukan sahaja bagi skuad utama yang beraksi dalam Liga Super tetapi juga bagi pasukan pelapis.

Selain membabitkan pemilihan pemain, ianya turut membabitkan pelantikan ketua jurulatih skuad Liga Super yang baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus, berkata, pelantikan ketua jurulatih pasukan utama itu bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan akan berasaskan falsafah dan DNA kelab berkenaan.

“Salah satu yang kita usulkan dalam isu pelantikan ketua jurulatih yang baharu untuk skuad Liga Super ialah akan mengikut rencah dan gaya atau falsafah kehendak kelab, yang dicadangkan oleh Pengarah Teknikal.

“Justeru, pengambilan ketua jurulatih selepas ini akan bergantung atau mengambil kira perkara itu dan setakat ini kita sudah ada senarai pendek antara lima ke enam jurulatih untuk skuad utama.

“Sebenarnya ramai yang mengemukakan permohonan (jawatan ketua jurulatih) termasuk dari luar seperti Sepanyol, Jepun, Croatia, Australia selain jurulatih tempatan dan ketika kemukakan dokumen bertujuan sama ada mereka boleh laksanakan atau tidak.

“Bagi kita, yang penting sistem dan DNA itu kena kekal walaupun ketua jurulatih datang dan pergi. Apapun perkara berkaitan pelantikan ketua jurulatih yang baharu ini akan dibincangkan dengan Ahli Lembaga Pengarah NSFC dalam masa terdekat.

“Kita akan pilih awal supaya menjelang Julai nanti, kita sudah dapat keputusan,” katanya dalam satu program bual bicara, di sini.

Ketika ini, skuad Liga Super Negeri Sembilan dibimbing K Rajan selaku ketua jurulatih interim, menggantikan pengendali sebelum ini, Nidzam Jamil yang meletakkan jawatan pada pertengahan Februari lalu.

Mengulas mengenai barisan pemain musim hadapan pula, Faliq berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan pemain berkualiti bagi setiap posisi dan mereka berminat mewakili Negeri Sembilan.

Menurutnya, pihaknya yakin dan percaya, melalui perancangan yang rapi dan hala tuju yang jelas disediakan kelab, sudah pasti ramai pemain yang berminat untuk mewakili skuad Hobin Jang Hobin.

“Bagaimanapun, kita akui akan ada banyak pertimbangan kerana mereka juga mempunyai banyak pilihan untuk menyertai pasukan lain yang lebih bagus selain mengambil kira beberapa faktor lain termasuk soal kewangan.

“Jadi, tidak dinafikan saingan kita untuk mendapatkan pemain berkualiti ini akan menyaksikan saingan yang sengit.

“Tapi, saya boleh sahkan bahawa perbincangan dan negosiasi sedang berlaku mengikut kehendak yang ditetapkan kelab berdasarkan pandangan serta syor daripada Pengarah Teknikal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top