Ryenald tergamam, Wani sebak mara ke pentas akhir AJL40

Ryenald tergamam, Wani sebak mara ke pentas akhir AJL40

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Shah Alam: Bahang Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) kian terasa apabila 10 lagu yang berjaya mara ke pentas akhir diumumkan, malam tadi.

Lagu terbaik yang bakal bersaing ialah Lumangad Oku Dika (Ryenald Guntabid), Kamu (Aina Abdul), Cak Cak Cekuk (Wani Kayrie), Ke Mana Ni (Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik), Tak Adil (Aisha Retno), Tangisan Seorang Pendosa (Marsha Milan), Semacam Pandora (Hazama), Lemah (Dayang Nurfaizah), Nurcinta (Amir Masdi) dan Tiwikarma (K.O.I).

Penyanyi dan komposer generasi baharu, Ryenald Guntabid yang pertama kali menyertai AJL meluahkan rasa terkejut apabila lagunya, Lumangad Oku Dika tersenarai.

“Syukur, saya tak dapat berkata-kata. Saya sangat terkejut. Ini kali pertama. Terima kasih semua yang menjadikannya kenyataan,” katanya.

Sementara itu, penyanyi, Wani Kayrie juga menitiskan air mata saat lagu nyanyiannya, Cak Cak Cekuk diumumkan layak mara ke AJL40.

“Selepas beberapa tahun saya dalam industri, ini kali pertama saya ke AJL40. Terima kasih yang tularkan lagu saya dan Cak Cak Cekuk ke AJL!” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian TV dan Kandungan Media Prima serta Primeworks Studios, Nini Yusof memaklumkan, AJL40 bakal berlangsung pada Ogos di Unifi Arena Bukit Jalil.

Menurutnya, jarak waktu yang panjang antara Anugerah Juara Lagu 40 Separuh Akhir (AJL40SA) dan AJL40 memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk persediaan.

“Aidilfitri dan Tahun Baru Cina terlampau dekat dan kita nak bagi masa yang cukup. Waktu terhad untuk latihan sekiranya peserta perlu berlatih dalam bulan Ramadan.

“Jadi tak mengapa untuk adakan AJL40 pada Ogos supaya artis dapat berlatih dalam masa yang panjang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top