Inovasi plastik daun kari

Inovasi plastik daun kari

suliati@hmetro.com.my

DAUN kari cukup sinonim dalam masakan harian rakyat Malaysia.

Namun, siapa sangka daun yang sering dijadikan penambah aroma dalam gulai dan tumisan ini berpotensi melawan pencemaran.

Itu yang berjaya dibuktikan Timbalan Dekan Pembangunan dan Jaringan, Jabatan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Nur Hanani Zainal Abedin yang menghasilkan inovasi pembungkusan makanan berasaskan daun kari.

Daripada dapur rumah ke makmal, inovasi itu dilihat berpotensi melawan pencemaran mikroplastik, melindungi makanan dan pada masa sama menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

Dr Nur Hanani berkata, pembungkusan kini menjadi sebahagian daripada rutin harian, daripada sarapan bungkus sehingga makanan sedia dimakan.

Namun, di sebalik kemudahan itu, katanya, tersembunyi realiti yang semakin membimbangkan.

“Hampir 40 peratus penggunaan plastik global datang daripada sektor pembungkusan dan kebanyakannya hanya digunakan sekali sebelum dibuang.

“Plastik ini pula tidak benar-benar lupus, sebaliknya terurai menjadi mikroplastik yang kini dikesan dalam air, tanah dan rantaian makanan manusia.

“Lebih membimbangkan, pembungkusan makanan konvensional juga berpotensi menjadi laluan pemindahan mikroplastik dalam makanan,” katanya.

Bertitik tolak daripada kebimbangan itu, penyelidikan Dr Nur Hanani memfokuskan penggunaan sumber semula jadi yang dekat dengan masyarakat iaitu daun kari.

Selama ini daun kari hanya dikenali sebagai penambah aroma dalam masakan.

Namun, kajian saintifik menunjukkan ia kaya dengan sebatian bioaktif yang mempunyai sifat antimikrob, antioksidan dan penangkis serangga.

Malah, dapatan ini selari dengan amalan tradisional masyarakat yang sering meletakkan daun kari berhampiran hidangan bagi mengurangkan kehadiran lalat, khususnya ketika kenduri dan jamuan terbuka.

Dr Nur Hanani berkata, daripada pemerhatian ini, lahir idea untuk membangunkan pembungkusan makanan yang bukan sahaja melindungi secara fizikal, tetapi turut bertindak secara aktif melindungi makanan.

Katanya, kebanyakan pembungkusan sedia ada hanya berperanan sebagai lapisan luar tanpa mampu menghalang pertumbuhan mikroorganisma, melambatkan pengoksidaan atau mengurangkan gangguan serangga.

“Dalam jangka panjang, penggunaan plastik sintetik yang sukar terurai bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah meningkatkan risiko kesihatan yang semakin mendapat perhatian di peringkat global,” katanya.

“Sehubungan itu, pembangunan pembungkusan berasaskan biopolimer semula jadi dilihat sebagai keperluan semasa,” katanya lagi.

Menurut Dr Nur Hanani, rahsia keberkesanan inovasi ini terletak pada penggunaan teknologi nano.

“Minyak pati daun kari ditukarkan kepada nanopartikel menggunakan kitosan iaitu biopolimer semula jadi yang diperoleh daripada sisa industri makanan laut.

“Proses ini melindungi sebatian aktif daripada mudah meruap dan membolehkan pelepasan bahan berlaku secara berperingkat,” katanya.

Nanopartikel itu kemudian digabungkan dalam filem pembungkusan berasaskan kitosan, sekali gus menghasilkan pembungkusan aktif yang mampu menghalang pertumbuhan mikroorganisma, melambatkan kerosakan makanan dan mengurangkan kehadiran lalat.

“Kesan penangkisan lalat datang daripada sebatian meruap dalam minyak pati daun kari seperti terpenoid dan alkaloid semula jadi.

“Bau dan bioaktiviti sebatian ini tidak digemari serangga, menjadikannya satu pendekatan semula jadi tanpa penggunaan bahan kimia sintetik,” katanya.

Tambah beliau, perlindungan teknologi nano dan sebatian ini kekal berkesan lebih lama, sesuai untuk aplikasi makanan sedia dimakan atau makanan terbuka.

Dalam aspek keselamatan, bahan digunakan seperti kitosan dan minyak pati daun kari yang dilaporkan selamat untuk sentuhan makanan pada kepekatan terkawal.

Ujian migrasi juga menunjukkan pemindahan bahan aktif berada dalam julat selamat, manakala aplikasi pada sandwic tuna sedia dimakan membuktikan pembungkusan ini mampu mengekalkan kualiti makanan tanpa menjejaskan kesegaran atau rasa.

Keunikan inovasi ini terletak pada keupayaannya menangani dua isu utama serentak iaitu mengurangkan kebergantungan terhadap plastik konvensional dan membantu memanjangkan jangka hayat makanan.

Secara tidak langsung, ia turut membantu mengurangkan pembaziran makanan.

Selain itu, filem pembungkusan ini bersifat biodegradasi dan diperbuat daripada sumber boleh diperbaharui, selari dengan agenda kelestarian serta pembangunan ekonomi hijau.

Dr Nur Hanani berkata, potensi teknologi ini tidak terhad kepada daun kari sahaja, malah boleh diperluaskan kepada herba tempatan lain yang kaya dengan sifat bioaktif.

Jika dikomersialkan secara meluas, inovasi ini berpotensi mengubah landskap pembungkusan makanan, daripada sekadar plastik sekali guna kepada pembungkusan pintar yang melindungi makanan, manusia dan alam sekitar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top