am@hmetro.com.my
Pendang: Dua pegawai bomba berjaya menyelamatkan dua wanita ketika sebuah gerai makan di medan selera berhampiran Masjid Al Falah Felda Sungai Tiang, di sini terbakar, semalam.
Kebakaran itu hanya membabitkan dapur gerai makan berkenaan.
Kejadian itu turut ditular di media sosial semalam dan dipercayai berlaku pada jam 5.15 petang ketika dua pegawai bomba terbabit, Muhammad Athir Maula Esaha dan Mohammad Anas Elyas kebetulan berada di premis berkenaan untuk membeli makanan dan menyiapkan tugasan berkaitan pertandingan Kadet Bomba peringkat negeri Kedah.
Suasana bertukar cemas apabila mereka menyedari terdapat api marak dari salah sebuah gerai di situ.
Mohammad Anas dalam kenyataan di media sosial berkata, pada awalnya, api yang tinggi disangka daripada aktiviti memasak namun, ia sebenarnya berpunca daripada hos gas yang tercabut ketika proses memasak, menyebabkan kebakaran berlaku secara tiba-tiba.
Katanya, kebakaran itu turut menghalang laluan keluar apabila api marak di bahagian hadapan pintu, manakala pintu kabin gerai didapati terkunci dan sukar dibuka, menyebabkan dua mangsa terperangkap dalam keadaan panik.
Ketika itu, kedua-dua pegawai bomba berkenaan melaksanakan tindakan menyelamat dengan membantu mengeluarkan mangsa ke kawasan selamat.
Operasi pemadaman kemudiannya dilaksanakan dengan pendekatan taktikal, di mana tindakan ‘rescue’ dan ‘confinement’ dilakukan oleh kedua-dua pegawai manakala proses pemadaman api berjaya disempurnakan menggunakan alat pemadam api yang diperoleh.
Kedua-dua mangsa dilaporkan hanya mengalami luka kecil dan berada dalam keadaan selamat.
Menurutnya, orang ramai disaran supaya memastikan pemasangan peralatan memasak berada dalam keadaan selamat serta menyediakan alat pemadam api di premis bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




