Lima cedera dalam nahas dua kenderaan di Sekinchan

Lima cedera dalam nahas dua kenderaan di Sekinchan

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Lima cedera dalam nahas dua kenderaan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Leman, Jalan Haji Sirat, Sekinchan semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.49 petang.

Beliau berkata, sepasukan lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dan Tanjong Karang dikejarkan ke lokasi.

“Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan sebuah lori tiga tan dan kereta Toyota Vios.

“Dua mangsa di dalam lori dengan seorang daripadanya tersepit. Manakala tiga lagi mangsa tersepit dalam kereta.

“Mangsa pertama di dalam kereta berjaya dibawa keluar dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa lain sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad Mukhlis berkata, anggota bomba berjaya mengeluarkan semua mangsa jam 3.50 petang.

“Dua mangsa dalam lori iaitu lelaki berusia 50 tahun patah tangan kanan dan luka di kaki. Manakala seorang lagi berusia 20 tahun luka di kaki kiri.

“Sementara itu, dua wanita masing-masing berumur 54 dan 27 tahun berjaya dikeluarkan. Mereka cedera di kepala dan patah kaki kiri,” katanya.

Beliau berkata, semua mangsa diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top