am@hmetro.com.com.my
Shah Alam: Perselisihan faham selepas ditegur merokok dipercayai menjadi punca pergaduhan yang berlaku di sebuah restoran di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, laporan kejadian berkenaan dibuat seorang lelaki tempatan kira-kira jam 2 pagi, Rabu.
“Hasil siasatan, pihak polis mendapati berlaku perselisihan faham antara dua pihak kerana salah seorang daripada mereka ditegur merokok di kawasan tersebut.
“Kejadian kemudian bertukar menjadi pergaduhan dan saling memukul antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Katanya, usaha mengesan individu terbabit masih dalam tindakan polis dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular rakaman berdurasi 47 saat yang memaparkan pergaduhan antara dua lelaki di sebuah restoran.
Insiden itu kemudian cuba dileraikan oleh beberapa individu lain yang berada di restoran terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




