norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon Fasha Sandha, 42, mengingatkan golongan wanita agar sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan akan terjadi dalam perhubungan khususnya terhadap pasangan yang curang.
Menurut pemilik nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan ini, sama ada lelaki atau wanita yang terkait dengan isu curang adalah perkara biasa dan tidak boleh menunding jari kepada sebelah pihak sahaja.
“Sebenarnya sama sahaja. Lelaki curang, perempuan pun curang. Itu normal. Kalau ini pendapat saya sebagai seorang wanita, senang sahaja kehidupan kita ini, selalu bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan terjadi.
“Sebab kalaulah kita dicurangi (pasangan), kita kena ada duit kita sendiri. Kita boleh hidup tanpa seorang lelaki, itu perempuan. Bahkan lelaki pun kalau kena curang dengan isteri, awak sudah ada duit sendiri.
“Awak ‘just’ tinggalkan sahaja dia. Maksud saya, kalau awak rasa dicurangi, tidak perlu pun awak nak ‘stay’ untuk sekadar hendak memujuk diri. Lebih baik, awak kena fikir fasal diri kita, apa yang boleh buat kita gembira?
“Saya bukan doktor ‘love’ (cinta). Tetapi boleh bagi pendapat sebab saya pun tidak sempurna dan kehidupan saya ini pun bukan sempurna sangat. Saya hanya boleh kata, sebagai seorang wanita kena ada duit sendiri,” katanya kepada Harian Metro
Terdahulu, Fasha ditanya oleh media berhubung pandangannya mengenai isu curang membabitkan pasangan yang terbuka dikongsi oleh segelintir wanita di media sosial dengan pelbagai luahan menyayat hati.
Ujar pelakon drama Natasha dan Doa Yang Terlindung ini lagi, sebagai wanita penting untuk kita memiliki kewangan sendiri kerana sekiranya jika berlaku apa-apa pun dalam perhubungan, tidak bergantung kepada sesiapa.
“Jadi, apabila awak (wanita) ada duit sendiri dan kalau kata apa-apa berlaku dalam kehidupan sekalipun, awak boleh hidup. Apa-apa jadi pun, awak tidak bergantung kepada sesiapa pun dan awak boleh kuat.
“Awak boleh teruskan hidup, semacam itu. Pada saya, curang atau tidak curang ini adalah subjektif. Kadang-kadang orang curang pun bersebab, kadang-kadang orang curang tanpa sebab.
“Jadi, macam tak tahulah nak cakap. Kehidupan kita kan, setiap orang ada kisah hidup masing-masing,” katanya turut memaklumkan agak jarang membuka media sosial seperti Threads kerana kesibukan bekerja.
Jelas ibu tiga cahaya mata ini, dia sudah lama tidak membaca Threads kerana kekurangan masa dan disifatkan juga tidak kena dengan jiwa kerana memaklumkan tidur pun tidak cukup disebabkan sibuk bekerja.
“Bagaimanapun kalau berlaku kecurangan, didapati orang sekarang sudah pandai (berfikir). Mereka tidak akan salahkan satu pihak (sebagai penyondol), orang akan salahkan dua-dua juga.
“Pada saya, orang dah pandai dah. Cuma, kalau diri sudah kena curang itu, tinggalkanlah dia. Apa susah sebab kita berhak memberi kebahagiaan kepada diri kita sendiri,” katanya.
Baru-baru ini, Fasha ditemui media pada sesi fotografi drama terbaharu, Puteri Kembang Malam lakonannya arahan Osman Ali yang akan ditayang TV3 dan Tonton Original Series di Galeri Prima, Balai Berita Bangsar.
Drama Puteri Kembang Malam sebanyak 10 episod itu berkisar kepada sikap wanita yang mempunyai personaliti baik dan sebaliknya, namun ditutupi dengan imej bersih tidak diduga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




