Hubungan Kembali Renggang, Kak KM Tidak Jemput Kak Nona Ke Rumah Terbuka

Hubungan Kembali Renggang, Kak KM Tidak Jemput Kak Nona Ke Rumah Terbuka

Usahawan kontroversi popular, Liana Rosli atau Kak KM, 45, mengakui hubungannya dengan Kak Nona kembali dingin.

Menurut Kak KM, dia memilih untuk tidak menjemput Kak Nona ke majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dianjurkannya di The Urban, Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Menurut Kak KM, keputusan tersebut dibuat susulan isu membabitkan anak saudaranya yang kini masih dalam siasatan pihak berkuasa.

“Saya memang tidak jemput dia. Sebelum ini kami sudah berbaik, tapi bila timbul isu melibatkan anak, saya tidak boleh sokong tindakan itu dan saya pilih untuk tidak berjumpa.

“Saya juga tidak mahu ulas lebih lanjut kerana perkara ini sudah jadi kes polis dan melibatkan hal keluarga mereka,” katanya.

Kak KM turut berkongsi dia tidak dapat menahan perasaan marah selepas anak saudaranya datang kepadanya menceritakan mengenai perkara tersebut.

“Semuanya bermula bila anak itu datang jumpa saya dan berkongsi apa yang berlaku. Saya jadi marah kerana saya anggap mereka seperti anak sendiri.

“Saya memang ambil berat tentang mereka. Pada saya, tidak logik untuk anak-anak itu mereka cerita kerana mereka bukan jenis yang bersosial,” katanya.

ARTIKEL: Isu Gaduh Selesai! Kak KM & Kak Nona Kembali Berbaik, Ibu Luah Rasa Sebak – “Akhirnya Anak-Anak Ku Berpelukan”

Dalam masa sama, Kak KM menegaskan isu keselamatan dan maruah anak-anak tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila ada pihak cuba mengaitkan kejadian tersebut dengan cara pemakaian mangsa.

“Tidak kira anak sendiri atau anak orang lain, cara berpakaian bukan alasan untuk sesiapa melakukan perkara tidak baik.

“Apa pun yang berlaku, perbuatan seperti itu tetap salah dan merupakan satu jenayah,” katanya.

Sebelum ini, hubungan Kak KM dan Kak Nona pernah dilaporkan dingin sebelum kembali baik pada Ramadan lalu selepas kedua-duanya dilihat berkongsi video bersama di Instagram.

Namun, hubungan itu kembali keruh susulan timbulnya dakwaan kes cabul melibatkan anak Kak Nona yang didakwa dilakukan oleh individu terdekat.

Terdahulu, media melaporkan bekas suami Kak Nona, Pak Edy turut mendakwa dua daripada tiga anak mereka mengalami trauma dan kini memerlukan rawatan pakar.

Difahamkan, laporan polis telah dibuat dan kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Scroll to Top