
Juha Miettinen. Foto: Agensi
BERLIN – Seorang pemandu perlumbaan, Juha Miettinen, maut manakala enam lagi cedera dalam perlanggaran melibatkan tujuh kereta semasa sesi kelayakan ADAC 24h Nurburgring di Jerman pada Sabtu, ketika juara dunia Formula Satu Max Verstappen turut menyertai acara itu, lapor Xinhua.
Menurut kenyataan penganjur, Miettinen, 66, dikeluarkan dari kenderaan dan dibawa ke pusat perubatan sebelum disahkan meninggal dunia walaupun usaha resusitasi telah dilakukan.
Insiden serius itu berlaku pada peringkat awal perlumbaan dan melibatkan tujuh pemandu.
Verstappen, yang tidak memandu ketika kemalangan berlaku, menyampaikan ucapan takziah menerusi hantaran di Instagram Stories.
Beliau menulis: “Terkejut dengan apa yang berlaku hari ini. Sukan permotoran ialah sesuatu yang kami semua minati, namun dalam situasi seperti ini ia mengingatkan betapa berbahayanya sukan ini. Salam takziah saya kepada keluarga dan orang tersayang Juha.”
Penganjur perlumbaan berkata dalam satu kenyataan: “Walaupun pasukan kecemasan tiba dengan segera, petugas perubatan tidak dapat menyelamatkan pemandu terbabit, Juha Miettinen, selepas beliau dikeluarkan dari kenderaan; pemandu itu meninggal dunia di pusat perubatan selepas semua usaha resusitasi tidak berjaya.
“Enam lagi pemandu yang terlibat dibawa ke Pusat Perubatan dan hospital berhampiran untuk pemeriksaan lanjut sebagai langkah berjaga-jaga. Tiada mangsa cedera dalam keadaan mengancam nyawa. Perlumbaan tidak akan disambung semula pada Sabtu malam. Seluruh warga 24 Hours of Nurburgring merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Juha Miettinen.”
Penganjur turut mengesahkan sesi bertafakur selama 1 minit akan diadakan bagi menghormati Miettinen semasa pembentukan grid sebelum perlumbaan disambung semula pada 1 tengah hari waktu tempatan pada Ahad. – Bernama-Xinhua



