WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, wakil AS akan berada di Islamabad pada Isnin bagi rundingan lanjut dengan Iran.
“Wakil saya akan ke Islamabad, Pakistan – mereka akan berada di sana esok petang untuk rundingan,” tulis Trump dalam hantaran panjang di media sosial pada Ahad, lapor agensi berita Jerman dpa.
Pusingan pertama rundingan antara Iran dan AS di Islamabad berakhir tanpa hasil ketara hujung minggu lalu, sekali gus menimbulkan keraguan sama ada penyelesaian terhadap perang yang dilancarkan AS dan Israel pada 28 Feb dapat dicapai sebelum gencatan senjata semasa tamat pada Rabu.
Satu isu utama yang masih menjadi halangan ialah pembukaan semula Selat Hormuz, laluan perairan penting bagi perdagangan minyak global.
Dalam perkembangan yang dilihat sebagai petanda kemajuan usaha diplomasi di sebalik tabir, Iran pada Jumaat mengumumkan pembukaan semula selat itu, namun menarik balik keputusan berkenaan pada Sabtu selepas Trump berkata AS akan mengekalkan sekatan tentera laut terhadap pelabuhan Iran sehingga perjanjian damai dicapai.
Trump berkata AS sedang “menawarkan perjanjian yang sangat adil dan munasabah.”
“Saya harap mereka menerimanya kerana jika tidak, AS akan memusnahkan setiap loji jana kuasa dan setiap jambatan di Iran,” katanya. – Bernama-dpa



