SYARIKAT pemaju hartanah, OSK Property, melancarkan projek kediaman terbaharunya, Aura di sini pada 18 April lalu sebagai fasa seterusnya pembangunan bersepadu Melbourne Square bernilai RM9.85 bilion di Melbourne, Australia.
Projek bernilai RM2.25 bilion (AUD$800 juta) itu bakal menampilkan menara setinggi 67 tingkat dengan 673 unit kediaman, sekali gus menambah elemen baharu kepada landskap pembangunan Melbourne Square di kawasan Southbank.
Aura menawarkan pelbagai jenis kediaman bermula daripada unit studio seluas 463 kaki persegi hingga kediaman tiga bilik tidur seluas 1,496 kaki persegi, dengan harga bermula RM1.66 juta.
Pelancaran tersebut dibuat ketika pasaran hartanah kediaman Australia kembali menarik minat pelabur Malaysia, didorong persekitaran ekonomi stabil, rangka kerja kawal selia telus serta permintaan berterusan terhadap perumahan di bandar utama seperti Melbourne.
Melbourne, yang sering disenaraikan sebagai antara bandar paling selesa didiami di dunia, terus menjadi tumpuan pasaran kediaman jangka panjang, disokong pertumbuhan populasi, sektor pendidikan bertaraf global serta peranannya sebagai hab kewangan dan budaya.
Terletak di 7 Hoff Boulevard, Southbank, Aura berada bersebelahan kawasan pusat perniagaan (CBD) Melbourne serta menghadap Sungai Yarra, sekali gus menawarkan akses mudah ke pusat pekerjaan, gaya hidup dan destinasi kebudayaan.

Aura mengetengahkan konsep kesejahteraan menyeluruh yang menitikberatkan keseimbangan sosial, fizikal dan mental dalam persekitaran kediaman yang tenang di tengah-tengah Southbank.
Kawasan Southbank juga kini berkembang sebagai antara kejiranan kediaman paling dinamik di Melbourne, selain dikenali sebagai presint seni dan hiburan utama negara itu.
Penduduk bakal menikmati kemudahan berhampiran seperti National Gallery of Victoria, kompleks hiburan Crown Melbourne serta rangkaian kafe dan restoran di sepanjang sungai.
Aura merupakan sebahagian daripada pembangunan Melbourne Square seluas lima ekar yang menggabungkan menara kediaman, ruang runcit dan kawasan hijau awam dalam satu perancangan bersepadu.
Presint itu turut menempatkan Kennedy Park seluas 3,745 meter persegi, pasar raya Woolworths, pusat pendidikan awal serta pelbagai kemudahan gaya hidup lain.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property Australia, Woon Chong Boon, Aura mencerminkan evolusi baharu visi Melbourne Square.
“Aura mengetengahkan konsep kesejahteraan menyeluruh yang menitikberatkan keseimbangan sosial, fizikal dan mental dalam persekitaran kediaman yang tenang di tengah-tengah Southbank,” katanya.
Beliau berkata, sambutan memberangsangkan terhadap projek terdahulu, BLVD, yang mencatat kira-kira 80 peratus jualan, menunjukkan permintaan kukuh terhadap kediaman dalam pembangunan bersepadu.
Tambahnya, Melbourne kekal menawarkan asas pelaburan jangka panjang yang kukuh, termasuk pertumbuhan populasi, permintaan sewaan tinggi serta persekitaran bandar yang dinamik.
Dalam masa sama, pasaran sewaan di kawasan pusat bandar Melbourne terus aktif dengan kadar penyewa yang tinggi, khususnya melibatkan golongan profesional muda, pelajar antarabangsa dan penduduk baharu.

Aura menawarkan pelbagai jenis kediaman bermula daripada unit studio seluas 463 kaki persegi hingga kediaman tiga bilik tidur seluas 1,496 kaki persegi, dengan harga bermula RM1.66 juta.
Aura turut menampilkan reka bentuk berinspirasikan seni bina Jepun yang menekankan ketenangan, kesederhanaan dan penggunaan bahan semula jadi.
Kemudahan yang disediakan termasuk kolam renang dalaman, gimnasium, studio pilates, ruang yoga, sauna, perpustakaan, ruang kerja dari rumah serta taman landskap.
Selain itu, kemudahan eksklusif di aras tinggi seperti Meridian Club dan Cumulus Club menawarkan ruang santai, makan persendirian serta kemudahan kesihatan dengan pemandangan panorama bandar Melbourne.
Bangunan ini direka oleh Cox Architecture dengan konsep moden yang diinspirasikan daripada bangunan pencakar langit di New York dan Tokyo.
Pembinaan Aura dijangka bermula pada penghujung 2026, sekali gus memperkukuh pembangunan Melbourne Square sebagai antara komuniti bandar bersepadu utama di Melbourne.
Pelancaran projek itu turut diadakan di EQ Kuala Lumpur pada 18 dan 19 April lalu, membuka peluang kepada pelabur Malaysia untuk meneroka pasaran hartanah di Melbourne.



