am@hmetro.com.my
Johor Bahru: United Overseas Bank (UOB) hari ini melancarkan My Digital Space (MDS), satu inisiatif pendidikan bank yang dirancang untuk menggalakkan pemikiran kritis dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab dalam kalangan pelajar.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, program itu dibentuk untuk membantu pelajar membina kemahiran digital asas, kesedaran kecerdasan buatan (AI) dan keyakinan melalui modul yang berstruktur.
“Selain memacu pelaburan ke dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), UOB komited membangunkan bakat yang bersedia menghadapi era digital masa hadapan.
“Kami berbangga untuk melancarkan secara rasmi UOB My Digital Space, sebuah program pendidikan utama bank ke Malaysia, bermula dengan Johor,” katanya sempena Forum Strategik UOB-Invest Johor JS-SEZ 2026 di sini, hari ini.
Ng berkata, program berkenaan kini dilaksanakan secara berperingkat merentasi pasaran utama ASEAN dan China, termasuk Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, China dan Hong Kong.
Ia dijangka akan memanfaatkan lebih 100,000 pelajar serantau, sekali gus membantu merapatkan jurang digital.
“Di Malaysia, program ini adalah yang julung kali diadakan dengan pelancaran rasminya pada hari ini.
“MDS memberi tumpuan pada penyediaan program pendidikan untuk pelajar berumur antara 10 hingga 16 tahun, selaras dengan objektif negara berkaitan dengan keterangkuman digital dan kesiapsiagaan belia untuk masa depan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




