London: Kelab Bournemouth mengumumkan pelantikan jurulatih dari Jerman, Marco Rose sebagai ketua jurulatih baharu bermula musim depan dengan kontrak tiga tahun.
Pelantikan itu menyaksikan pengendali semasa, Andoni Iraola bakal meninggalkan kelab pada penghujung musim ini.
Rose, 49, hadir dengan pengalaman luas di pentas Eropah selepas pernah membimbing Red Bull Salzburg meraih dua kejuaraan liga Austria, selain membantu Borussia Dortmund muncul naib juara Bundesliga.
Beliau turut membawa RB Leipzig menjulang Piala Jerman pada 2023 sebelum meninggalkan kelab itu pada 2025.
Ketika ini, Bournemouth berada di tangga kelapan Liga Perdana Inggeris dan belum tewas dalam 13 perlawanan terakhir, sekali gus hampir mencipta sejarah layak ke kejohanan Eropah buat kali pertama sejak kelab ditubuhkan pada 1899.
Mereka juga berkongsi 48 mata dengan Chelsea di tangga keenam, sekali gus membuka peluang besar untuk menamatkan musim dalam kelompok terbaik.
Dalam masa sama, kelab menegaskan fokus utama kekal untuk mengakhiri musim ini dengan prestasi terbaik, termasuk mengekalkan momentum tanpa kalah yang sedang dicatatkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




