Mayat reput dalam Tesla: Penyanyi D4vd didakwa bunuh kekasih

Mayat reput dalam Tesla: Penyanyi D4vd didakwa bunuh kekasih

Los Angeles: Penyanyi D4vd didakwa pada Isnin atas tuduhan membunuh teman wanita remajanya sebelum memotong mayat mangsa, tahun lalu.

Mayat remaja itu yang mereput ditemukan di dalam sebuah Tesla yang ditinggalkan di Hollywood Hills.

Penyanyi berusia 21 tahun itu, yang nama sebenarnya David Anthony Burke, berdepan hukuman mati atas kematian mengerikan Celeste Rivas Hernandez.

Mayat remaja itu ditemukan pada bulan September 2025, beberapa hari sebelum ulang tahun mangsa yang ke-15.

“Celeste masih kecil, bawah umur 14 tahun, ketika David Burke didakwa terbabit dalam hubungan seksual berulang kali dengannya,” kata Peguam Daerah Los Angeles, Nathan Hochman.

“Apabila dia mengancam untuk mendedahkan kelakuan jenayahnya dan memusnahkan kerjaya muziknya, Burke didakwa membunuh (mangsa), memotong mayatnya dan memasukkan mayatnya ke dalam dua beg yang diletakkan di but hadapan keretanya.”

Hochman berkata, mayat Celeste yang dimutilasi, mereput selama empat bulan sehingga ia ditemukan.

“Pembunuhan mengerikan dilakukan oleh pemangsa seksual yang dituduh ini amat mengejutkan dan mengerikan. Kepada orang tersayang Celeste: kami akan mendapatkan keadilan yang anda cari dan layak terima.”

Burke menjadi terkenal di internet pada 2022 apabila lagunya “Romantic Homicide” menjadi hit di TikTok.

Dia sedang mengadakan persembahan jelajah apabila detektif dipanggil ke sebuah tempat tunda Hollywood selepas jiran-jiran mengadu tentang bau dari kenderaan disita.

Tesla itu, didaftarkan atas nama Burke di Texas, diletakkan di jalanan di Hollywood Hills yang mewah selama kira-kira sebulan sebelum ia ditunda.

Tetapi penyiasat percaya mayat Celeste mungkin sudah lama berada di but hadapan kenderaan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top