Kes jangkitan virus parainfluenza meningkat di China

Kes jangkitan virus parainfluenza meningkat di China

Beijing: Kadar jangkitan virus parainfluenza manusia atau HPIVs, kumpulan virus pernafasan yang menyerupai selesema biasa dilaporkan meningkat di China sejak beberapa minggu kebelakangan ini, lapor China Daily.

Data terbaharu daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China menunjukkan kadar jangkitan dalam kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah adalah lebih tinggi berbanding kumpulan umur lain.

Bagi minggu bermula 6 April, kadar positif HPIVs dalam kalangan pesakit dengan gejala seakan influenza adalah 6.9 peratus, meningkat daripada 6.5 peratus pada minggu sebelumnya dan 4.7 peratus sekitar pertengahan Mac.

CDC China memaklumkan bahawa aktiviti influenza secara keseluruhan menunjukkan penurunan, namun HPIVs, Rhinovirus dan virus pernafasan sinsitium (RSV) masih terus menular.

Orang awam dinasihatkan supaya mengambil langkah perlindungan diri seperti memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan tangan.

Pakar daripada CDC China berkata, HPIVs kurang cenderung untuk bermutasi dan lebih mudah menjangkiti bayi serta kanak-kanak berbanding influenza.

Katanya, HPIVs juga merebak melalui titisan pernafasan dan sentuhan rapat.

Justeru, amalan mencuci tangan secara kerap, memakai pelitup muka dan memastikan pengudaraan yang baik kekal sebagai langkah pencegahan utama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top