NEW YORK – Ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran kembali memuncak apabila kedua-dua pihak dilaporkan saling memberi amaran bahawa mereka bersedia untuk kembali berperang, ketika rundingan damai yang sedang diusahakan masih berada dalam keadaan tidak menentu.
Menurut laporan AFP, rundingan yang bertujuan menamatkan konflik di Asia Barat masih belum mencapai kata putus, dengan perkembangan diplomatik di Islamabad kekal kabur.
Dalam perkembangan sama, Washington dilaporkan sedang mempertimbangkan penghantaran semula delegasi rundingan ke Pakistan, namun Teheran masih belum mengesahkan penyertaan mereka.
Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf, berkata Iran tidak akan menerima sebarang rundingan yang berlangsung di bawah tekanan atau ancaman ketenteraan.
“Dengan mengenakan sekatan dan melanggar gencatan senjata, (Presiden AS Donald) Trump cuba menjadikan meja rundingan sebagai meja penyerahan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Iran sudah bersedia untuk kemungkinan eskalasi konflik.
“Kami tidak menerima rundingan di bawah bayang-bayang ancaman, dan dalam tempoh dua minggu ini kami telah bersedia untuk menunjukkan kad baharu di medan pertempuran,” katanya menerusi platform X.
Dalam masa sama, Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang melalui Selat Hormuz tanpa kebenaran boleh menjadi sasaran, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan laluan minyak dunia.
AS pula menuduh Iran melanggar gencatan senjata dengan mengganggu pergerakan kapal di laluan strategik itu, yang merupakan laluan penting bagi kira-kira satu perlima bekalan minyak global.
Presiden AS, Donald Trump, dalam beberapa kenyataan di platform Truth Social, mendakwa sekatan terhadap Iran memberi tekanan besar kepada Teheran dan hanya akan dihentikan sekiranya perjanjian dicapai.
Beliau turut memberi amaran bahawa sekiranya gencatan senjata tamat tanpa persetujuan, “letupan besar akan berlaku”, selain menyatakan tempoh tersebut mungkin tidak akan dilanjutkan.
Ketegangan yang meningkat turut memberi kesan kepada pasaran global apabila harga minyak dilaporkan meningkat susulan kebimbangan konflik bersenjata boleh kembali tercetus.
Iran juga dilaporkan menutup semula Selat Hormuz selepas pembukaan singkat sebelum ini, sekali gus menambah tekanan terhadap pasaran tenaga dunia.
Di Teheran, kehidupan harian dilaporkan kembali hampir normal dengan kafe dan taman mula dipenuhi orang ramai. Namun, sebahagian penduduk menyatakan kebimbangan terhadap ketidaktentuan keadaan semasa.
Seorang doktor berusia 30 tahun yang ditemu bual AFP berkata, rakyat Iran kini berdepan tekanan berpanjangan akibat perang dan keadaan ekonomi yang meruncing.
Sementara itu, seorang penduduk lain menyifatkan keadaan ekonomi semakin teruk serta berlaku peningkatan tindakan penahanan oleh pihak berkuasa.
Delegasi AS yang diketuai Naib Presiden, JD Vance bersama beberapa pegawai kanan dijangka berlepas ke Pakistan dalam masa terdekat, namun sumber diplomatik menyifatkan keadaan masih “berubah-ubah”.
Setakat ini, masa depan rundingan damai serta status gencatan senjata kekal tidak pasti, dengan kedua-dua pihak terus berbalas tuduhan dan memberi isyarat kesiapsiagaan ketenteraan.-Agensi



