Penyanyi Irene Catalina semakin mencuri perhatian dan menjadi topik perbualan netizen sejak dia kembali aktif dalam industri muzik.
Mula muncul dengan single comeback berjudul Mau Apa Lagi pada September tahun lalu dan naskhah istimewa sempena Syawal berjudul Vibes Hari Raya duet bersama Nuim, Irene semakin rancak membina nama.
Terbaharu, kemunculannya membuat persembahan di acara The Music Run by AFFIN yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu turut mengundang pelbagai reaksi, termasuk persoalan daripada segelintir individu yang kurang mengenalinya.
@xtra_my Meriah! Penyanyi Irene Catalina menyampaikan tiga buah lagu, termasuk single terbaharunya Mau Apa Lagi di acara The Music Run Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung semalam. #xtramy #xtratonton ♬ original sound – XTRA
Berkongsi mengenai perkara itu, Irene mengakui ada membaca komen netizen yang mempertikaikan kehadirannya di pentas tersebut, namun memilih untuk tidak terlalu memikirkan perkara negatif.
“Saya ada nampak komen yang tertanya-tanya siapa saya dan kenapa saya berada di acara itu. Ada yang lebih teruk mengatakan saya cuba himpit Datuk Seri Siti Nurhaliza. Bagi saya, itu perkara biasa. Saya cuba kekal positif dan fokus pada apa yang saya buat,” katanya.

Tambah Irene, selain komen terbuka di media sosial, dia juga menerima mesej peribadi yang mempersoalkan kehadirannya, termasuk dakwaan cuba menumpang populariti Biduanita Negara yang turut membuat persembahan pada acara sama.
“Ada juga yang hantar mesej secara peribadi, tanya siapa saya dan ada yang kata saya cuba tumpang nama penyanyi nombor satu Malaysia sebab kami berkongsi pentas. Saya terima sahaja, mungkin mereka belum kenal saya lagi,” jelasnya.
Bagaimanapun, Irene berharap orang ramai dapat memberi ruang dan peluang untuk dirinya memperkenalkan bakat yang dimiliki.
“Saya harap mereka boleh buka hati dan beri peluang untuk kenal siapa saya. Apa yang saya buat ini adalah usaha untuk berkongsi bakat dengan semua,” katanya.




Dalam masa sama, Irene bersyukur diberi peluang untuk membuat persembahan di acara berkenaan dan menganggapnya sebagai satu rezeki yang besar.
“Saya percaya setiap rezeki itu sudah ditentukan. Dapat berkongsi pentas dengan artis hebat, terutamanya Datuk Seri Siti Nurhaliza buat saya lagi bersemangat untuk teruskan perjalanan dalam industri,” ujarnya.
Pada acara tersebut, Irene menyampaikan tiga lagu iaitu Golden, Mahu Apa Lagi dan Tabola Bale, sekali gus menandakan antara penampilan besar selepas bergerak secara solo.

Menurut Irene, perasaan gementar tetap ada sebelum naik ke pentas, namun dia berusaha memberikan persembahan terbaik.
“Memang ada rasa gugup, tapi saya cuba buat yang terbaik. Dulu masa bersama kumpulan Angels, saya pernah buat persembahan besar, tapi kali ini lebih bermakna sebab saya tampil sebagai penyanyi solo,” katanya.
Selain itu, Irene kini sedang dalam proses menyiapkan lagu baharu dan pada masa sama memenuhi beberapa undangan persembahan korporat sekitar Kuala Lumpur.




