Kerajaan Bakal Umum Langkah Tambahan Bantu Penganggur

Kerajaan Bakal Umum Langkah Tambahan Bantu Penganggur

Kerajaan akan mengumumkan langkah tambahan dalam masa terdekat bagi membantu golongan yang masih tersisih daripada peluang pekerjaan, khususnya siswazah dan lulusan diploma.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keperluan itu semakin mendesak susulan cabaran ekonomi semasa termasuk kesan krisis bekalan global dan perang di Asia Barat.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan kemahiran dimiliki golongan itu tidak disia-siakan dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

“Saya akan umumkan langkah tambahan supaya kelompok yang tersisih daripada peluang pekerjaan termasuk siswazah menganggur ataupun yang lulusan diploma itu.

“Kita akan umumkan dalam masa singkat,” katanya selepas menyertai Sesi Meja Bulat Bersama Institusi Kewangan hari ini yang turut disertai Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Dalam masa sama, Anwar menjelaskan kadar pengangguran negara kekal pada paras 2.9 peratus, yang disifatkan sebagai antara terbaik dalam tempoh 10 tahun.

“Kita tahu dalam keadaan menghadapi krisis ekonomi lanjutan akibat perang di Asia Barat, kita harus mengambil beberapa langkah baharu dan langkah siap siaga. Usaha ini dilakukan dengan mengambil kira keperluan mempertahankan kedudukan dan pertumbuhan ekonomi.

“Petanda makroekonomi negara itu sudah sangat baik. Sehingga menjelang suku pertama tahun ini, unjuran BNM bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga baik iaitu antara empat hingga lima peratus dalam keadaan negara mula merasai tempias ekonomi akibat krisis. Ini agak unik dan membanggakan berbanding negara lain,” ujarnya.


Scroll to Top