Remaja kantoi jadi pengangkut PATI, terima upah RM100 seorang

Remaja kantoi jadi pengangkut PATI, terima upah RM100 seorang

am@hmetro.com.my

Tumpat: Menerima bayaran sebanyak RM100 bagi seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya dibawa, seorang remaja lelaki dipercayai tekong darat dicekup ketika serbuan dibuat di sebuah rumah di Kampung Bunohan, di sini, jam 4 pagi hari ini.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, terdahulu pihaknya menahan lima warga asing dalam penugasan sempena Op Taring Wawasan Kelantan yang bermula jam 11.30 malam.

Beliau berkata, anggota rondaan mengesan sebuah Mitsubishi Triton dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum pemandunya memecut laju dan dikejar sehingga berhenti di tepi jalan Terbak–Kelaboran Belukar, di sini.

“Dua lelaki sempat melarikan diri namun lima lelaki warga India dan Sri Lanka ditemui bersembunyi di tempat duduk belakang kenderaan terbabit.

“Susulan itu, pasukan operasi menyerbu sebuah rumah di Kampung Bunohan pada jam 4 pagi dan menahan seorang remaja berusia 18 tahun dipercayai tekong darat.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku menyediakan pengangkutan kepada PATI dengan bayaran RM100 seorang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati lima warga asing itu memasuki Malaysia menggunakan perahu dari Thailand sebelum menyeberangi Sungai Golok.

Katanya, mereka mengaku membayar RM3,000 kepada ejen di India seorang sebagai kos perjalanan dan jaminan masuk ke Thailand serta negara ini.

Menurutnya, tujuan utama mereka adalah untuk mencari pekerjaan bagi menyara keluarga di negara asal manakala remaja lelaki itu pula memaklumkan dia ditawarkan kerja oleh lelaki tempatan untuk mengambil PATI di pangkalan haram.

“PATI itu kemudiannya akan dihantar ke Stesen Bas Kota Bharu menggunakan kenderaan dipercayai milik abangnya dan dipandu tanpa pengetahuan keluarga manakala bayaran hanya dibuat selepas penghantaran berjaya.

“Ujian saringan yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis Methampethamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 55(e), Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Dalam perkembangan lain, tujuh warga Myanmar dengan enam daripadanya adalah PATI ditahan dalam sekatan jalan raya Lalang Pepuyu, Tanah Merah, dekat sini jam 4 pagi hari ini.

Mereka ditahan ketika menaiki kereta Perodua Bezza dipandu warga Myanmar yang mengaku menerima arahan melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki warga Myanmar yang menetap di Kuala Lumpur dan dipercayai bertindak sebagai ejen penghantaran PATI.

“Suspek mendakwa menerima bayaran RM300 bagi setiap individu mengikut jarak perjalanan dan sudah melakukan kegiatan itu antara tiga hingga empat kali sebulan.

“Pada hari kejadian, kumpulan warga asing itu diambil di Kota Bharu dan akan dihantar ke Pasar Borong Pudu, Kuala Lumpur manakala seorang lagi ke sekitar Gua Musang.

“Semakan turut mendapati kenderaan yang digunakan berdaftar atas nama individu lain di Kuala Lumpur,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top