Kos bina semula Gaza cecah lebih RM281 bilion

Kos bina semula Gaza cecah lebih RM281 bilion
Kos bina semula Gaza cecah lebih RM281 bilion

Keadaan wilayah itu musnah teruk akibat kempen pengeboman berterusan rejim Zionis selama lebih dua tahun. Foto Agensi

BRUSSELS – Lebih daripada AS$71 bilion (RM281 bilion) diperlukan untuk tempoh dekad akan datang bagi usaha pemulihan dan pembangunan semula Genting Gaza.

Anggaran kos itu dibuat berdasarkan laporan bersama Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diterbitkan pada Isnin.

Dalam Penilaian Kerosakan dan Keperluan Pantas Gaza (RDNA) merumuskan kempen pengeboman ganas rejim Zionis selama lebih dua tahun ke atas wilayah Palestin itu telah mengakibatkan krisis kemanusiaan yang dahsyat.

“Usaha pembinaan semula mesti berjalan seiring dengan tindakan kemanusiaan di samping memastikan peralihan daripada bantuan kecemasan kepada pembangunan berskala besar.

“Proses itu juga perlu dipimpin oleh Palestin dan menggabungkan pendekatan yang secara aktif menyokong pemindahan tadbir urus kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) selaras dengan Resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) 2803,” menurut kenyataan bersama itu.

Resolusi tersebut yang diguna pakai pada November lalu turut menyambut baik penubuhan ‘Lembaga Keamanan’ yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk membina semula Gaza.

PBB dan EU turut menekankan bahawa ‘satu set syarat pemudah cara’ diperlukan bagi memastikan resolusi itu dapat dilaksanakan dengan berkesan di lapangan.

Antaranya termasuk gencatan senjata yang berterusan serta jaminan keselamatan selain akses kemanusiaan tanpa halangan dan pemulihan segera perkhidmatan asas serta kebebasan pergerakan orang ramai, penghantaran bahan pembinaan tanpa sebarang sekatan.

Penilaian akhir tersebut menentukan sebanyak AS$26.3 bilion (RM104.1 bilion) diperlukan bagi tempoh 18 bulan pertama untuk memulihkan perkhidmatan penting, membina semula infrastruktur kritikal dan menyokong pemulihan ekonomi.

“Kerosakan infrastruktur fizikal dianggarkan mencecah AS$35.2 bilion (RM139.3 bilion) dengan kerugian ekonomi dan sosial berjumlah $22.7 bilion (RM89.8 bilion),” ujarnya lagi. – Agensi

Info:

>Menurut laporan RDNA, kira-kira 371,888 unit rumah separa musnah atau binasa sepenuhnya. Lebih 50 peratus hospital tidak lagi berfungsi dan hampir kesemua sekolah telah rosak atau musnah.

>Kira-kira 1.9 juta penduduk Gaza terpaksa berpindah-randah lebih lima kali. Lebih 60 peratus populasi hilang tempat tinggal.

>Impak peperangan selama lebih dua tahun itu telah menyebabkan ekonomi Gaza menguncup sebanyak 84 peratus.

Scroll to Top