am@hmetro.com.my
Shah Alam: Seorang lelaki berputih mata apabila beg silang yang mengandungi duit gaji dilarikan seorang individu dalam kejadian di sebuah stor penyimpanan barang pembinaan di Jalan Meru Tambahan, Klang, semalam.
Difahamkan, lelaki tempatan berusia 24 tahun itu kerugian kira-kira RM400 dan duit berkenaan baru sahaja diperolehinya.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, mangsa tampil membuat laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.30 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati, pada 8.30 pagi hari sama, mangsa meletakkan beg silang miliknya di atas kotak simpanan perkakas pertukangan di luar premis sebelum masuk ke bahagian dapur.
“Selang 30 minit kemudian, beg berkenaan didapati hilang dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang lelaki memakai topi keledar dalam keadaan mencurigakan seterusnya melarikan beg silang mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan usaha menjejaki suspek sedang giat dilaksanakan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya kepada Penolong Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Khellykuzaman Mohd Nasir di talian 017-2863177 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




