Jurang besar Asia Timur–Barat, Kobe 'angkat bendera putih'

Jurang besar Asia Timur–Barat, Kobe 'angkat bendera putih'

Jeddah: Pengendali Vissel Kobe, Michael Skibbe mempersoalkan keupayaan kelab Jepun untuk bersaing dengan pasukan dari Asia Barat yang disokong dana besar, selepas tersingkir di separuh akhir Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE).

Kobe tewas kepada juara bertahan Al-Ahli apabila dibolosi pada separuh masa kedua hasil jaringan Galeno dan Ivan Toney, sekali gus memadam kelebihan awal Yoshinori Muto.

Skibbe secara terbuka mengakui jurang kualiti antara Asia Timur dan Barat semakin melebar, didorong kekuatan kewangan liga di Timur Tengah.

“Jurang besar ini berlaku kerana kelab di Arab Saudi, Qatar dan kawasan sekitarnya jauh lebih kuat dari segi kewangan.

“Mereka membeli pemain berkualiti tinggi dari Eropah dan Amerika Selatan.

“Sebaliknya di Asia Timur, kami kehilangan pemain terbaik ke Eropah,” katanya.

Menurutnya, sukar untuk kelab Jepun menandingi kekuatan pasukan dari Arab Saudi yang memiliki sumber kewangan luar biasa.

Perubahan keseimbangan kuasa mula jelas sejak 2023 apabila Public Investment Fund mengambil alih empat kelab utama Arab Saudi.

Sejak itu, liga berkenaan dibanjiri bintang dunia seperti Karim Benzema, Riyad Mahrez dan N’Golo Kante.

Mahrez sebelum ini membantu Al-Ahli menjuarai edisi lalu selepas menewaskan wakil Jepun, Kawasaki Frontale, dan sekali lagi memainkan peranan penting menyingkirkan Kobe.

Walaupun dominasi Arab Saudi semakin jelas, tidak semua wakil mereka mara jauh musim ini apabila Al-Hilal tersingkir awal dan Al-Ittihad turut kecewa.

Wakil Jepun, Machida Zelvia masih membawa cabaran Asia Timur dan akan berdepan Shabab Al-Ahli di separuh akhir.

Pemenang bakal bertemu Al-Ahli di final di Stadium Bandar Sukan Raja Abdullah.

Sementara itu, pengendali Al-Ahli, Matthias Jaissle menegaskan fokus pasukannya hanya untuk mempertahankan kejuaraan.

“Kami tidak fikir mengenai rekod atau pasukan lain.

“Tetapi memenangi dua kejuaraan berturut-turut adalah sasaran besar dan berada di tahap ini sudah satu pencapaian hebat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top