KUALA LUMPUR: Pelakon, Kodi Rasheed, 35, tampil memberi pandangan berhubung tindakan seorang pempengaruh yang mengkritik kerjaya anak seni dan melabel golongan ini sebagai meraih rezeki haram.
Menurut Kodi, masyarakat seharusnya lebih berhati-hati sebelum menjatuhkan hukum terhadap seseorang, apatah lagi membabitkan soal halal dan haram yang bukan perkara kecil.
Katanya, tiada siapa berhak menghakimi rezeki orang lain kerana setiap pekerjaan yang dilakukan dengan baik dan tidak melanggar syariat mempunyai nilainya tersendiri.
“Mengenai komen netizen yang mengatakan pendapatan pelakon itu haram, kita perlu berhati-hati. Saya beri contoh, arwah Ismail Din meninggal dunia di Mekah, di sebelah Kaabah. Kita tahu dia bekerja seorang pelakon, jadi siapa kita untuk menghakimi halal atau haram kerja seseorang?
“Kita patut cermin diri sendiri dahulu sebelum sibuk membuka aib orang lain. Selagi kita melakukan kerja yang baik dan tidak melanggar hukum, InsyaAllah semuanya baik,” katanya.
Kodi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kecaman segelintir pihak termasuk seorang pempengaruh yang didakwa sering mempersoalkan kerjaya golongan selebriti dan penggiat seni.
Dalam masa sama, pelakon itu mengakui berasa simpati terhadap individu yang sengaja mencetuskan kontroversi semata-mata untuk meraih perhatian di media sosial.
Menurutnya, tindakan membuka aib orang lain demi populariti atau jumlah tontonan yang tinggi bukanlah sesuatu yang wajar dijadikan budaya.
“Saya berasa kasihan kepada individu yang sengaja mencari perhatian dengan cara negatif di media sosial. Mungkin mereka dahagakan populariti.
“Begitu juga dengan ruangan podcast yang sengaja mendedahkan aib orang demi tontonan yang tinggi. Itu bukan cara yang baik. Kita tidak sepatutnya memberi tumpuan kepada perkara atau individu yang negatif seperti itu,” ujarnya.
Sementara itu, Kodi turut berkongsi mengenai pembabitannya dalam filem Libang Libu arahan Bobby Husaini.
Menurutnya, dia terus menerima tawaran tersebut kerana sudah lama ingin bekerjasama dengan Bobby yang sebelum ini lebih dikenali menerusi pembikinan iklan televisyen.
“Saya terima tawaran ini kerana saya tidak pernah bekerja dengan Bobby sebelum ini. Bobby mengenali saya melalui iklan televisyen (TVC).
“Rakan-rakan saya sering bertanya mengapa Bobby banyak mengambil mereka untuk berlakon iklan tetapi saya belum berpeluang lagi.
“Apabila Bobby menawarkan projek ini, saya terus bersetuju, lebih-lebih lagi apabila mengetahui barisan pelakonnya sangat hebat. Kami mahu berseronok dalam projek ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Kodi menyifatkan gaya pengarahan Bobby mempunyai elemen tersendiri yang mengingatkannya kepada karya Allahyarham Mamat Khalid, namun dengan sentuhan yang lebih moden.
“Saya bersetuju bahawa ia mempunyai elemen arwah Mamat Khalid tetapi dalam versi yang lebih moden. Dahulu saya hampir berpeluang bekerja dengan Abang Mamat tetapi tidak kesampaian.
“Pada mulanya saya tidak perasan, tetapi lama-kelamaan semasa penggambaran, saya dapat merasakan ‘vibe’ atau suasana seperti filem Mamat Khalid.
“Pengalaman ini sangat menyeronokkan kerana saya berpeluang berlakon dengan pelakon hebat seperti Nabila Huda, Beto Kusyairy dan Amerul Affendi,” katanya.




