Leicester: Leicester City sah tersingkir ke liga ketiga bola sepak England buat musim depan selepas sekadar seri 2-2 dengan Hull City, sekali gus melengkapkan kejatuhan memalukan dua musim berturut-turut.
Bekas juara Liga Perdana Inggeris 2016 itu gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri di Stadium King Power, dengan keputusan itu menyaksikan mereka terperosok di tangga ke-23 dengan 42 mata, tujuh mata di belakang zon selamat dengan hanya dua perlawanan berbaki.
Sementara itu, Coventry City mengesahkan kejuaraan Championship selepas membelasah Portsmouth 5-1, sekali gus layak ke Liga Perdana Inggeris musim depan sebagai juara.
Pasukan kendalian Frank Lampard itu kini mendahului carta liga dengan kelebihan 10 mata dan tidak mampu dipintas meskipun baki dua perlawanan masih berbaki.
Dalam aksi lain, Millwall naik ke tangga kedua selepas menewaskan Stoke City 3-1, manakala Wrexham kembali ke kelompok playoff selepas menang 1-0 ke atas Oxford United.
Leicester sebenarnya memerlukan kemenangan untuk terus bernyawa, namun ketinggalan terlebih dahulu pada minit ke-18 sebelum bangkit menerusi sepakan penalti Jordan James dan jaringan Luke Thomas.
Bagaimanapun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Oli McBurnie menyamakan kedudukan pada minit ke-63, sekali gus mengesahkan kejatuhan pasukan itu ke liga ketiga.
Pengendali Leicester, Gary Rowett mengakui keputusan itu amat mengecewakan.
“Ia sangat mengecewakan. Secara keseluruhan, penyingkiran bukan berlaku dalam beberapa perlawanan sahaja, tetapi sepanjang musim.
“Kami hanya mencatat lima aksi tanpa bolos sepanjang musim, dan itu jelas tidak mencukupi,” katanya.
Leicester sebelum ini mencipta sejarah sensasi apabila muncul juara Liga Perdana Inggeris 2015/16 di bawah kendalian Claudio Ranieri, selain menjuarai Piala FA pada 2021.
Namun musim ini, mereka turut dikenakan potongan enam mata akibat pelanggaran peraturan kewangan Liga Bola Sepak England, sekali gus menjejaskan kedudukan mereka.
“Ia satu kejatuhan besar. Kelab ini pernah berada di puncak, tetapi sekarang kami berada di titik paling rendah.
“Kelab ini perlu bangkit semula dan belajar daripada kesilapan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




