am@hmetro.com.my
Butterworth: Seorang inspektor polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, tadi, atas dua pertuduhan rasuah berjumlah RM11,500 bagi menyelesaikan kes berkaitan aktiviti perjudian dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Firdaus Kamal, 39, memohon kesnya dibicarakan ketika kedua-dua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Firdaus yang berkhidmat sebagai inspektor polis dari Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara menerima suapan wang tunai RM5,000 daripada seorang lelaki berusia 55 tahun.
Ia sebagai dorongan menyelesaikan kes yang disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan Bekas Pejabat Kuarantin Tumbuhan di Jalan Bagan Luar Butterworth dalam daerah Seberang Perai Utara, di sini, kira-kira jam 3.45 petang pada 22 Ogos 2024.
c Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa meminta suapan wang tunai berjumlah RM6,500 daripada individu sama bagi tujuan sama.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Seberang Perai Utara pada 21 Ogos 2024, kira-kira jam 5.30 petang.
Pendakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Khas Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 16(a)(B) akta sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh bakal dipenjarakan sehingga 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Noor Azura Zulkiflee, manakala tertuduh diwakili peguam Khaliq Mehtab Mohd Ishaq.
Semasa prosiding, Noor Azura menetapkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dihadapi tertuduh selain menetapkan syarat
tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM sekali pada setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa sehingga perbicaraan selesai.
Bagaimanapun, Khaliq Mehtab dalam rayuannya terhadap tertuduh memohon jaminan minima dengan alasan anak guamnya menyara seorang isteri tidak bekerja selain dua anak berusia 8 dan 12 tahun yang masih bersekolah termasuk ibu bapanya yang uzur.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan meminta mengikuti semua syarat tambahan ditetapkan pihak pendakwaan.
Kes akan disebut semula pada 12 Jun depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




