Tunggu hampir 16 tahun untuk tunaikan haji

Tunggu hampir 16 tahun untuk tunaikan haji

am@hmetro.com.my

Alor Setar: “Kami menunggu hampir 16 tahun peluang untuk menunaikan haji selepas mendaftar di Tabung Haji pada tahun 2010.

“Alhamdulillah, akhirnya hajat termakbul apabila kami suami isteri mendapat panggilan haji tahun ini… syukur, ” kata Zulkeflee Alwi, 69.

Zulkeflee dan isterinya, Noor Ashikin Ayob, 64, masing-masing pesara guru tidak menyangka akan menerima tawaran menunaikan haji pada Disember tahun lalu.

Katanya, mereka berdua pernah membuat rayuan jika ada kekosongan tetapi kecewa apabila dimaklumkan kena tunggu giliran.

“Tapi saya dan isteri sangat gembira apabila mendapat tawaran menunaikan haji pada hujung tahun lalu dan melakukan persiapan awal kerana tidak sabar ke Makkah.

“Mulanya saya dimaklumkan sepatutnya menunaikan haji pada tahun 2050 tetapi Alhamdulillah rezeki dapat tahun ini, ” katanya yang juga bekas guru besar di Jitra.

Sementara itu, pasangan suami isteri dari Kuala Perlis juga menyatakan kegembiraan mereka apabila menerima tawaran mengerjakan haji tahun ini.

Pesara, Johari Othman, 70, dan isterinya, Nadzirah Salim, 65, mula menyimpan sejak 20 tahun dahulu iaitu ketika mula bekerja untuk menunaikan haji.

“Kami daftar nama di Tabung Haji pada tahun 2009 dan sejak itu kami menunggu peluang untuk menerima tawaran menunaikan haji.

“Masa dapat surat tawaran tu, kami menangis seronok kerana tak sangka peluang kami sampai tahun ini, “katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Penyelarasan Stesen Alor Setar Musim 14/47 H, Nur Adli Mohd Nazri berkata, untuk penerbangan ketiga hari ini membabitkan seramai 140 jemaah haji yang terdiri dari 68 lelaki dan 72 wanita.

Beliau berkata, kesemua mereka berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini pada jam 7.55 malam tadi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka sampai 3.50 pagi esok di Madinah

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top