'Suap' badak air 'snek'

'Suap' badak air 'snek'

amir_hamid@mediaprima.com.my

Walaupun hati berdebar-debar, namun pengalaman berdiri kurang tiga meter daripada badak air yang juga mamalia ketiga terbesar di dunia memberi pengalaman luar biasa buat penulis.

Sepanjang berada di Paya Indah Discovery Wetlands, penulis serta pengunjung lain bukan sekadar melihat, malah berpeluang memberi makan buah-buahan dengan melontarnya dalam mulut badak air (hippopotamus) yang menganga luas.

Untuk rekod, jarak berkenaan adalah selamat dengan semuanya sentiasa berada di bawah pemantauan renjer bertugas.

Walaupun dikenali sebagai antara haiwan paling berbahaya, malah digelar pembunuh nombor satu di habitat asalnya di Afrika, aktiviti interaktif di lokasi berkenaan dikawal rapi dengan prosedur keselamatan ketat, termasuk hadangan khas antara pengunjung dan badak air.

Aktiviti memberi makanan kepada badak air juga tidak membabitkan sebarang sentuhan antara pengunjung dan haiwan liar berkenaan.

Dua waktu diperuntukkan kepada pengunjung untuk merasai keterujaan di Kolam Hippo berkenaan iaitu sesi pertama pada jam 10 pagi dan sesi kedua, jam 2 petang pada setiap hari kecuali Rabu.

Umur panjang ‘Baby’ dan ‘Lily’

Renjer Paya Indah Discovery Wetlands, Aminoor Asyraf Najuddin, 27, berkata, badak air mempunyai jangka hayat lama, boleh mencecah usia 50 tahun hingga 60 tahun.

“Buat masa ini, kami mempunyai pasangan utama iaitu Lily (betina) berusia 15 tahun dan Baby (jantan) berusia 13 tahun.

“Berdasarkan jangka hayat haiwan berkenaan yang boleh mencecah 50 tahun hingga 60 tahun, kedua-duanya boleh dianggap masih muda dan berpotensi besar untuk membiak,” katanya.

Aminoor menambah, seekor lagi badak air iaitu Indah (betina) berusia lima tahun kini adalah generasi ketiga yang berjaya dilahirkan di situ sejak induk asalnya dibawa dari Botswana ke Paya Indah pada 2001.

Sajian ‘snek’ RM10 sebekas

Pengunjung yang ingin merasai pengalaman memberi makan boleh membeli sebekas buah-buahan seperti pisang, betik atau tembikai susu pada harga RM10.

Bagaimanapun, sesi ini dilakukan di bawah pengawasan ketat pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

“Buah-buahan ini hanya ‘snek tambahan’ mengikut bekalan harian. Makanan utama badak air adalah rumput Napier.

“Badak air sangat menjaga kawasan (territorial), jadi pengawasan PERHILITAN sangat penting bagi memastikan keselamatan pengunjung,” jelas Aminoor.

Aminoor juga berkongsi fakta menarik bahawa seekor bayi badak air selalunya lahir dengan berat sekitar 50 kilogram.

Ia faktor si ibu biasanya akan bunting serta melahirkan seekor bayi sahaja untuk setiap kelahiran dengan usia kandungan pula lapan bulan.

Aksi ‘sang bedal’ di Tasik Buaya

Selain badak air, satu lagi tarikan haiwan liar di air yang tidak kurang hebatnya ialah Tasik Buaya.

Ia menempatkan lebih 60 buaya spesies tembaga yang dibawa dari pelbagai lokasi di Semenanjung Malaysia.

Pemerhati hidupan liar pasti terpegun melihat reptilia gergasi ini yang dianggarkan seberat lebih satu tan setiap seekor.

Bagi mereka yang ingin menyaksikan petugas memberi makan kepada buaya, waktu terbaik untuk berkunjung adalah pada hujung minggu iaitu pada jam 11 pagi dan jam 3 petang.

Paya Indah Discovery Wetlands yang terletak di Kuala Langat ini diuruskan secara kerjasama strategik antara syarikat hartanah, Gamuda Land dan PERHILITAN.

Gabungan ini menjadikan ia pusat ekopelancongan unik yang menekankan pemuliharaan hidupan liar dalam suasana semula jadi yang asli.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top