Tingkah laku agresif dalam kalangan kanak-kanak seperti mengamuk, marah melampau, membaling dan merosakkan barang sering dikaitkan dengan ketidakupayaan mereka untuk mengawal emosi sendiri.
Pakar psikologi klinikal kanak-kanak dan Pengarah Urusan CPC International Psychologist Consultant, Hospital Pakar Salam Senawang, Dr. Noor Aishah Rosli berkata, pada peringkat ini kanak-kanak masih belum mampu menenangkan diri atau mengawal kemarahan, menyebabkan emosi diluahkan melalui tantrum.
“Apabila kehendak mereka tidak dipenuhi, kanak-kanak lazimnya akan mengamuk dengan harapan ibu bapa akhirnya akan mengalah.
“Sekiranya tidak dituruti, keadaan boleh menjadi lebih buruk kerana mereka masih belum menguasai kemahiran regulasi emosi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, tingkah laku ini juga sering bertujuan untuk mendapatkan perhatian ibu bapa yang berada di sekeliling mereka.
Belajar melalui pemerhatian dan peniruan
Kanak-kanak secara semula jadi belajar melalui pemerhatian dan peniruan.
Jika ibu bapa menunjukkan kemarahan atau bertindak agresif, anak akan meniru perlakuan tersebut.
Justeru, ibu bapa perlu mengawal tingkah laku terutama ketika berada dalam tekanan.
Sebaliknya, jika ibu bapa kekal tenang, anak juga lebih cenderung bertindak dengan cara yang sama apabila berdepan situasi sukar.
Dalam pada itu, tingkah laku mengamuk dianggap normal bagi kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun kerana ia sebahagian daripada perkembangan emosi.
Namun, jika berterusan sehingga usia lima hingga tujuh tahun, ia boleh menandakan isu perkembangan yang memerlukan nasihat pakar.
Faktor keluarga dan persekitaran
Persekitaran keluarga turut memainkan peranan besar dalam membentuk emosi dan tingkah laku kanak-kanak.
Keluarga yang kerap bergaduh atau berkelahi boleh menyebabkan anak mengalami tekanan serta ketidakstabilan emosi, lalu meluahkan kemarahan melalui tingkah laku agresif seperti mengamuk dan merosakkan barang.
Selain itu, cara ibu bapa mendidik anak yang tidak selaras juga boleh menjadi punca masalah.
Perbezaan antara ibu yang lebih lembut dan bapa yang lebih tegas, khususnya dalam hal penggunaan gajet, boleh menyebabkan anak tidak tenang dan mudah mengamuk.
Baling barang sebagai luahan emosi
Tingkah laku membaling atau merosakkan barang berlaku apabila kanak-kanak tidak mampu meluahkan emosi melalui kata-kata, lalu menzahirkan kemarahan secara fizikal.
Dalam sesetengah kes, ia turut boleh berpunca daripada rasa takut, contohnya dalam situasi penjagaan bergilir apabila kanak-kanak enggan pulang ke rumah salah seorang ibu bapa dan bertindak menangis serta membaling barang.
Jika berlaku sekali-sekala dan mudah ditenangkan, ia masih dianggap normal.
Namun jika berlaku hampir setiap hari, sukar dipujuk, serta berlaku di pelbagai tempat seperti rumah, taska atau tempat awam, ibu bapa disaran mendapatkan pandangan pakar.
Tingkah laku ini juga boleh dikaitkan dengan masalah perkembangan seperti autisme yang melibatkan sensori, serta kanak-kanak yang lambat bercakap.
ADHD pula hanya boleh dikenal pasti sekitar usia enam hingga tujuh tahun, maka tidak sesuai dikaitkan pada usia terlalu awal.
Kepentingan pendidikan emosi
Ibu bapa disarankan mendidik anak tentang emosi sejak usia dua hingga tiga tahun melalui pendekatan seperti video pendidikan di YouTube.
Malah, ia membantu kanak-kanak mengenali emosi asas seperti marah, kecewa dan gembira serta cara menguruskannya dengan betul.
Pendidikan emosi ini penting bagi membantu anak memahami perasaan dan bertindak dengan lebih sesuai dalam sesuatu situasi.
Apabila anak mengamuk, ibu bapa tidak seharusnya terus marah atau menghukum kerana ia boleh memburukkan keadaan.
Sebaliknya, ibu bapa perlu bertenang, memerhati punca dan memahami situasi terlebih dahulu sebelum menenangkan anak.
Selepas anak mula tenang, ibu bapa boleh memujuk menggunakan bahasa yang mudah, lembut dan memberi nasihat secara perlahan agar lebih mudah difahami.
Pendekatan didikan berbanding hukuman
Pendekatan seperti memukul, menjerit atau mengugut tidak digalakkan kerana kanak-kanak masih belum memahami kesan atau maksud ancaman tersebut.
Sebaliknya, mereka perlu dibimbing melalui pendekatan positif seperti memberi pujian terhadap tingkah laku baik serta menggunakan contoh atau bahan pendidikan untuk membentuk pemahaman yang betul.
Ibu bapa juga perlu menjadi contoh terbaik kerana kanak-kanak cenderung meniru segala tingkah laku yang mereka lihat di rumah sebagai cara menyelesaikan masalah.




