am@hmetro.com.my
Nilai: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengenal pasti aliran pemindahan wang keluar masuk bagi melengkapkan siasatan berhubung penyelewengan dana berjumlah kira-kira RM230 juta membabitkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya sedang mendapatkan maklumat itu daripada institusi perbankan secepat mungkin namun adalah dijangka akan diperolehi dalam tempoh seminggu.
Katanya, pihaknya yakin melalui penyata berkenaan akan dapat membantu agensi penguatkuasaan berkenaan dalam melengkapkan siasatan terbabit.
“Perlu diingatkan kes ini bukan setakat 2025 atau 2026 sahaja, tapi kita hendakkan sebelum dari itu iaitu 2024 dan ke bawah. Sehingga semalam, kami hendakkan laporan (penyata bank) 2018.
“Jadi, saya jangka ambil masa sedikit, tapi saya percaya pihak bank akan bagi dokumen-dokumen yang diperlukan,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara SPRM dengan Enforcement, Leadership and Management University (ELMU), di ELMU Bandar Enstek di sini.
SPRM diwakili Pemangku Pesuruhjaya Datuk Mohd Hafaz Nazar manakala ELMU diwakili Ketua Pegawai Kewangan, Datin Noraini Aripin. Hadir sama Naib Canselor ELMU, Datuk Dr Kassim Mohamed.
Semalam, media melaporkan SPRM menyita aset tak alih bernilai lebih RM18.3 juta bagi membantu siasatan berkaitan kes penyelewengan dana RM230 juta membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Difahamkan sitaan berkenaan membabitkan 14 hartanah yang terdiri daripada tujuh unit rumah kediaman, tiga unit ruang pejabat dan empat lot tanah di beberapa lokasi.
SPRM juga mengesahkan nilai keseluruhan rampasan aset melalui Op Sutra membabitkan tiga individu, termasuk timbalan pengerusi sebuah NGO yang menyeleweng dana sumbangan setakat ini mencecah RM8.73 juta.
Mengulas lanjut, Azam berkata, setakat semalam siasatan yang jalankan menunjukkan wang dana berkenaan disalahgunakan untuk tujuan peribadi, membeli aset-aset peribadi dan sebagainya.
“Kami sedang mendapatkan lebih banyak maklumat dan keterangan, pengesahan penyata daripada pihak bank, berapa banyak wang yang telah masuk dalam akaun peribadi mana-mana pihak.
“Mana-mana pihak yang terlibat dan menerima wang berkenaan termasuk ahli keluarga, akan dipanggil untuk dapatkan penyelesaian sama ada mereka tahu ataupun tidak, jadi saya jangka apabila kita dapat penyata dari bank itu nanti, kemungkinan ramai lagi akan dipanggil,” katanya yang turut mengesahkan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) turut dipanggil bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Azam berkata, pihaknya berpandangan perlu ada satu mekanisma atau undang-undang baharu bagi mengawal dan menyelia setiap yang wang masuk dalam NGO kerana perkara ini telah berlaku beberapa kali.
Beliau berkata, setakat ini tiada undang-undang yang boleh memantau wang yang masuk dalam NGO dengan menggunakan pelbagai platform.
“Susulan itu timbul isu tunggang agama tanpa mengira agama dan masyarakat yang memberi derma untuk mereka uruskan, tapi telah disalahgunakan.
“Pada saya topik ini menjadi isu dan perlu diuruskan pada masa akan datang. Sebab itu saya telah sebutkan semalam bahawa SPRM kena buat kerjasama dengan pihak tertentu, untuk kita lihat cara terbaik (menangani perkara ini).
“Pada saya perlu ada undang-undang khusus untuk mengawal wang-wang (sumbangan) ini kerana mereka didapati menyalahguna kuasa, menipu dan pecah amanah,” tegasnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




