Aset tentera laut IRGC sedia hadapi kapal perang AS di Selat Hormuz

Aset tentera laut IRGC sedia hadapi kapal perang AS di Selat Hormuz
Aset tentera laut IRGC sedia hadapi kapal perang AS di Selat Hormuz

Armada bot laju IRGC bersama UUV bersedia menghadapi musuh. – Foto: Agensi

TEHERAN – Ketua Badan Kehakiman Iran, Gholam-Hossein Mohseni-Ejei mendakwa aset tentera laut elit negara itu termasuk bot laju dan kenderaan bawah air tanpa pemandu (UUV) bersiap siaga untuk berdepan kapal perang Amerika Syarikat yang didakwa menceroboh perairan strategik Iran.

Menurut laporan media Iran, beliau berkata pasukan bot laju Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC ) dan pasukan UUV berada dalam keadaan bersedia di kawasan sekitar Selat Hormuz bagi “memberikan tindak balas keras” terhadap sebarang pencerobohan kapal perang asing.

“Armada bot laju IRGC bersama UUV sedang menunggu dari dalam kawasan gua laut Pulau Farur untuk menghadapi kapal perang Amerika yang menceroboh dan memberikan kesan besar kepada pihak lawan,” katanya pada Khamis.

Beliau turut mendakwa kapal perang Amerika Syarikat sebelum ini tidak berani mendekati kawasan selat tersebut selepas menyaksikan tindakan balas tentera laut Iran terhadap kehadiran mereka.

Dalam laporan yang disiarkan oleh media Iran, IRGC turut mendakwa pernah mengunci sasaran menggunakan peluru berpandu terhadap kapal perang Amerika di kawasan selat itu sebelum ia berundur.

Menurut laporan tersebut, ketegangan berlaku selepas kapal perang AS didakwa tidak mematuhi amaran awal daripada tentera laut Iran, sebelum IRGC dilaporkan mengunci sasaran dengan beberapa peluru berpandu sebagai amaran.

Walaupun begitu, pihak Iran menegaskan tindakan tersebut tidak membawa kepada serangan sebenar, sebaliknya dianggap sebagai sebahagian daripada strategi pencegahan.

Iran turut mendakwa telah menahan beberapa kapal di Selat Hormuz kerana melanggar peraturan laluan maritim, dalam usaha memperketat kawalan di kawasan berkenaan sejak konflik dengan Amerika Syarikat dan Israel memuncak pada Februari lalu.

Dalam masa sama, Teheran dilaporkan bersedia untuk melonggarkan sekatan di selat itu sekiranya Washington menarik balik sekatan ekonomi dan sekatan laut yang dikenakan terhadap Iran.

Ketegangan di Selat Hormuz kini dilihat sebagai antara isu utama yang menghalang usaha diplomatik bagi menyambung semula rundingan antara Teheran dan Washington selepas rundingan awal di Pakistan sebelum ini gagal mencapai sebarang persetujuan.-Agensi

Scroll to Top