'Mahu ambil cuti panjang luang masa dengan suami dan anak'

'Mahu ambil cuti panjang luang masa dengan suami dan anak'

am@hmetro.com.my

Julung kali digandingkan, pelakon Mira Filzah mengakui teruja beraksi di sisi pelakon berkaliber, Zahiril Adzim menerusi drama Aku Pilih Pelangi terbitan Global Station.

Mira atau atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 33, berkata, dia memang menanti peluang untuk bekerjasama dengan Zahiril dalam lakonan.

“Bila kita bekerjasama dengan orang yang hebat, sedikit sebanyak kita dapat belajar banyak benda dan pada masa sama dapat memperbaiki prestasi lakonan sedia ada,” katanya.

Walaupun baru kali pertama bergandingan, Mira berkata, mereka mempunyai ‘chemistry’ (keserasian) yang sangat kuat sekali gus memberi warna terhadap watak pasangan suami isteri dalam kisah yang sarat emosi itu.

“‘Chemistry’ (keserasian) itu kadang-kadang sekali kita baca dialog dan faham rentak antara satu sama lain, kita sudah boleh dapat ‘chemistry’ yang memang sudah ada,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Berkongsi cabaran pula, kata Mira, drama Aku Pilih Pelangi itu berat tapi ia tidak seberat drama lakonannya sebelum ini.

“Tapi, rasanya berbeza sebab kalau bersedih pun dalam cerita ini tak kan nak marah pada takdir?

“Cabarannya ialah macam mana kita nak tunjuk pada penonton bagaimana kita dapat menerima semua benda ini dengan reda dan pada masa sama ada rasa sedih juga ,” katanya.

Dari segi babak pula, kata Mira, dia tetap menjaga batasan seperti biasa ketika melakonkan babak pasangan suami dan isteri dalam drama Aku Pilih Pelangi itu.

Katanya, sebagai pelakon yang berhijab dan sudah berkahwin pastinya penerbit dan pengarah turut memahami perkara itu.

“Setakat ini, penerbit dan pengarah yang sudah biasa bekerjasama dengan saya juga tidak ada masalah dengan batasan yang diletakkan dalam lakonan,” katanya.

Selain Mira dan Zahiril, naskhah Aku Pilih Pelangi turut menampilkan barisan pelakon seperti Noki K-Clique, Datuk Seri Shah Rezza dan Auni Yusri. Ia bersiaran menerusi saluran penstriman Viu sejak 16 April lalu.

Beralih sisi peribadinya pula, kata Mira, dia merancang mengambil cuti yang panjang bagi memperuntukkan masa berkualiti bersama keluarga selepas bekerja tanpa henti pada tahun lalu.

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata lelaki iaitu Wan Khair Amir, 4, jika nak diikutkan dia sudah memenuhi banyak tawaran berlakon termasuk projek filem sejak tahun lalu.

“Saya banyak terima tawaran berlakon termasuk filem yang mengambil masa yang agak lama sampailah pada tahun ini. Sudah macam ‘back to back’ bekerja.

“Jadi, selepas saya selesaikan baki penggambaran satu projek filem, saya mahu fokus pada anak pula kerana berasa kasihan padanya. Amir kini sudah pandai minta saya untuk hantar dan jemput dia dari sekolah. Dia akan tanya saya di mana, kenapa tak bermain dengannya dan macam-macam lagi soalan.

“Kita sedar anak sedang membesar, perlukan perhatian. Apabila dia bertanya begitu, sebagai ibu hati saya terusik,” katanya.

Pada masa sama, Mira turut menzahirkan rasa syukur dengan sikap terbuka suaminya, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khairil Anuar yang sangat memahami kerjaya seni diceburinya itu.

Kata Mira, suami juga tidak pernah meletakkan sebarang syarat dalam mengatur kerjaya dan rumah tangga.

“Sebagai isteri dan ibu, saya perlu bijak membuat pertimbangan sewajarnya. Pasangan suami isteri juga kena ‘teamwork’ (satu pasukan).

“Alhamdulillah, suami banyak bagi dorongan baik dari segi kerjaya mahupun sebagai ibu. Kalau saya sibuk dan terbabit dengan penggambaran, memang suamilah yang akan hantar dan ambil anak di sekolah,” katanya.

Mengenai perancangan anak kedua pula, kata Mira, dia mengakui sudah bersedia untuk mendapat cahaya mata kedua memandangkan anak sulungnya sudah berusia empat tahun.

Tambahnya, dia dan suami juga percaya sekarang adalah masa yang tepat untuk mereka menambah cahaya mata sekali gus membesarkan keluarga sedia ada.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top