Ancaman fentanyl: AADK bersedia!

Ancaman fentanyl: AADK bersedia!

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersedia menangani ancaman dadah fentanyl selepas dikesan sudah mula memasuki pasaran negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh, bagaimanapun berkata setakat pihaknya belum merekodkan sebarang kes di pusat pemulihan berkaitan dadah fentanyl.

Katanya, tangkapan yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini menjadi petunjuk dadah berkenaan sudah memasuki pasaran Malaysia dan digunakan penagih.

“Penagih yang disahkan mengambil fentanyl belum ada lagi di peringkat kita. Tetapi kemungkinan mereka itu berada di luar.

“Tetapi dalam erti kata lain juga kita sudah membuat persiapan kerana kita sedia maklum dadah jenis fentanyl, kemudaratannya lebih 50 peratus berbanding ganja.

“Insya Allah kita bersedia dengan dadah jenis berkenaan dan di pusat pemulihan AADK, setiap jenis dadah akan dirawat dengan cara dan pendekatan berbeza.

“Sebagai contoh mereka yang mengambil dadah tradisional seperti heroin dan ganja itu pendekatan berbeza. Manakala bagi dadah jenis Amphetamine Type Stimulant (ATS) termasuk fentanyl memerlukan pendekatan berbeza. Modul yang sama namun pendekatan berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sua Mesra Ketua Pengarah AADK di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang di sini, hari ini.

Jelasnya, bagi dadah jenis ‘magic mushroom’ yang dicampur ke dalam cecair vape, pihaknya sudah mempunyai kes di pusat pemulihan dan usaha menangani dadah itu dilakukan secara berterusan.

Media sebelum ini melaporkan,

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan usaha sindiket pengedaran dadah memperkenalkan produk rokok elektronik atau vape mengandungi furanyl fentanyl ke pasaran tempatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, ia dikenal pasti melalui Operasi bersepadu Op Vape 1.0 dari 13 hingga 17 April lalu di seluruh negara.

Katanya, produk rokok elektronik yang mengandungi dadah termasuk furanyl fentanyl tidak dijual secara terbuka, sebaliknya menyasarkan pelanggan terpilih yang berada dalam kelompok tertentu.

Dadah ‘zombi’ sudah masuk pasaran vape

Polis rampas dadah Zombi, bahan terlarang lain bernilai RM31.57 juta

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top