Tiada permohonan anjur konvoi Mat Motor ke LTSIP – Polis

Tiada permohonan anjur konvoi Mat Motor ke LTSIP – Polis

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Polis Kelantan mengesahkan tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana penganjur untuk mengadakan konvoi Mat Motor ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang dijadualkan petang ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata pihaknya akan membuat sekatan jalan raya sekitar lokasi berkenaan hari ini.

“Setakat jam 2 petang kami tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk menganjurkan konvoi motosikal ke lapangan terbang.

“Susulan itu kita akan mengadakan sekatan jalan raya hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bekerjasama dengan polis mengadakan sekatan jalan raya bagi memeriksa motosikal termasuk ditunggang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari memasuki LTSIP petang ini.

Katanya tindakan beberapa ADUN Kelantan untuk menganjurkan konvoi Mat Motor ke LTSIP itu adalah satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab.

Katanya, lapangan terbang adalah kawasan strategik dan keselamatan yang perlu dipelihara sepanjang masa untuk memastikan perjalanan penumpang yang lancar dan tidak terganggu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top