lizamridzuan@hmetro.com.my
SEBAGAI kenderaan pelbagai guna (MPV) premium, GWM WEY G9 Hi-4 bukan sahaja tampil elegan, malah ia didatangkan dengan ciri enjin tenaga baharu hibrid plug-in (PHEV) yang terawal dalam pasaran tempatan.
Media baru-baru ini diberi peluang memandu uji model itu dalam satu sesi khas yang dianjurkan dari Kuala Lumpur ke Kuantan oleh GWM Malaysia.
Penulis berpeluang memandu terlebih dahulu bersama tiga media lain dalam kenderaan melalui Gombak dan Karak, laluan yang cukup sesuai untuk menguji prestasi serta keselesaan sebuah MPV bersaiz besar.
Melihat kepada rekaan luaran, ia didatangkan dengan kemasan krom serta gril bersaiz besar dan lampu utama LED yang nipis menyerlahkan kehadiran dari jauh.
Dari sisi, ia dipadankan dengan rim aloi 18 inci, pintu gelongsor dwi bahagian dan bahagian belakang dengan lampu sistem pencahayaan kristal merentasi pintu serta spoiler atas yang memberi sedikit sentuhan sporty.
Menjengah ke ruang kabin adalah nilai sebenar model ini dengan menawarkan tahap kemewahan yang sukar ditandingi dalam kelasnya, khususnya pada konfigurasi tempat duduk barisan kedua yang benar-benar memanjakan penumpang.
Tempat duduk jenis ‘captain seat’ didatangkan dengan fungsi urutan, pengudaraan serta pelarasan elektrik penuh yang membolehkan posisi duduk disesuaikan mengikut keselesaan individu.
Penulis sempat duduk di belakang dan merasai satu keselesaan membuatkan terus terlena seketika dalam perjalanan. Ruang kaki yang luas membolehkan penumpang meregangkan badan dengan selesa, malah sudut jatuhan yang dalam memberi pengalaman seakan-akan berada di kerusi kelas perniagaan.
Selain itu, kemasan dalaman menggunakan material lembut bersama padanan warna yang elegan menjadikan keseluruhan kabin terasa eksklusif dan tidak berlebihan.
Paparan skrin infotainmen utama digabungkan dengan kluster digital pemandu memberi akses mudah kepada pelbagai fungsi kenderaan, termasuk sistem navigasi dan kawalan hiburan.
Sistem audio premium yang ditawarkan pula memberikan kualiti bunyi yang jelas dan mendalam, sesuai untuk perjalanan jauh tanpa rasa penat.
Turut melengkapkan ciri kemewahan ialah kehadiran peti penyejuk mini serta meja lipat pada barisan kedua, menjadikan ia lebih praktikal untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jarak jauh.
Walaupun barisan ketiga masih boleh digunakan oleh penumpang dewasa, ruangnya lebih sesuai untuk penggunaan sekali-sekala berbanding perjalanan yang terlalu lama.
Secara keseluruhan, ruang kabin GWM WEY G9 Hi-4 jelas direka dengan fokus kepada keselesaan maksimum, menjadikannya antara MPV paling lengkap dari segi pengalaman penumpang.
Dari aspek prestasi, model ini menggunakan gabungan enjin 1.5 liter turbo bersama dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa sekitar 442PS dan tork 642Nm.
Di atas lebuh raya, pecutan terasa lancar dan responsif tanpa sebarang gangguan ketara antara mod elektrik dan enjin pembakaran dalaman.
Ketika melalui laluan berbukit di Karak, sistem pacuan semua roda membantu mengekalkan cengkaman, menjadikan pemanduan lebih stabil dan meyakinkan.
Walaupun saiznya besar, kawalan badan masih terasa baik dan tidak terlalu membuai, memberikan keyakinan kepada pemandu terutama ketika mengambil selekoh panjang.
Sepanjang pemanduan, respons pedal minyak juga cukup lancar tidak terlalu agresif, tetapi cukup untuk memberikan kuasa apabila diperlukan, terutama ketika memotong kenderaan di lorong kanan.
Stereng pula ringan pada kelajuan rendah, memudahkan pergerakan di kawasan sempit seperti hentian rehat, namun menjadi lebih berat secara progresif apabila kelajuan meningkat, memberikan rasa kawalan yang lebih tepat.
Sistem brek memberikan cengkaman yang meyakinkan dengan respons yang konsisten, tanpa rasa ‘spongy’ walaupun selepas beberapa kali membrek di laluan menurun.
Sistem PHEV pada GWM WEY G9 Hi-4 membolehkan ia dipandu dalam mod elektrik sepenuhnya untuk jarak tertentu, sesuai untuk kegunaan harian dalam bandar.
Apabila kuasa tambahan diperlukan, enjin 1.5L turbo akan berfungsi secara automatik dengan peralihan yang sangat lancar tanpa gangguan ketara.
Gabungan enjin dan dua motor elektrik bersama sistem AWD memberikan penghantaran kuasa yang responsif, terutama ketika memotong atau mendaki.
Dalam masa sama, sistem ini turut membantu menjimatkan bahan api melalui penggunaan mod elektrik dan fungsi ‘regenerative braking’.
Dilengkapi enam beg udara termasuk beg udara sisi dan tirai penuh, sistem brek anti-kunci (ABS), kawalan kestabilan elektronik (ESC), kawalan cengkaman (TCS), bantuan brek kecemasan (EBA), serta sistem bantuan pemandu lanjutan (ADAS) yang merangkumi kawalan jelajah adaptif, bantuan kekal lorong, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan automatik dan pemantauan titik buta.
Turut disertakan kamera 360 darjah, sensor parkir hadapan dan belakang serta struktur badan berkekuatan tinggi bagi meningkatkan perlindungan penumpang.
Dilengkapi bateri lithium-ion berkapasiti sekitar 34 kWh, sistem hibrid ini menyokong pemanduan dalam mod elektrik sepenuhnya sehingga kira-kira 150 kilometer (NEDC), selain boleh dicas menggunakan pengecas AC sekitar 6.6kW dalam tempoh beberapa jam bergantung kepada sumber kuasa.
Selain itu, ia turut menawarkan fungsi bekalan kuasa luaran 3.3kW (V2L – Vehicle-to-Load) yang membolehkan kenderaan ini digunakan untuk membekalkan tenaga elektrik kepada peralatan luaran.
Secara keseluruhan, pengalaman pemanduan GWM WEY G9 Hi-4 bukan sahaja menekankan keselesaan, tetapi turut menawarkan keseimbangan antara prestasi dan kawalan yang jarang ditemui dalam segmen MPV besar.
Sesuai untuk perjalanan jauh dalam keadaan penuh selesa untuk pengalaman pemanduan lebih bermakna ia ditawarkan pada harga RM269,800 (atas jalan, tanpa insurans).
© New Straits Times Press (M) Bhd




